Monday, February 13, 2017

PERCERAIAN



BAB 1: PERCERAIAN
1.1  Definisi Perceraian

Maksud talaq atau perceraian, jika dilihat dari sudut bahasa mengertikan tindakan melepas atau menghuraikan ikatan. Dari sudut istilah ia bermaksud tindakan melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz (perkataan) yang tertentu, iaitu talaq (perceraian), firaq (perpisahan) dan sarah (pelepasan), seperti seorang suami berkata kepada isterinya; “Engkau telah ku talaqkan atau Engkau seorang perempuan yang sudah ditalaq dan sebagainya”.[1]
Sabda Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam yang bermaksud;
“Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talaq (perceraian)”[2]

Merujuk kepada pengertian talaq beserta sabda Rasulullah Sollallahu A’alaihi Wasallam di atas, dapatlah difahami di sini bahawa perceraian itu sememangnya adalah dibenarkan di dalam Islam, namun ia bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh Islam untuk mengamalkannya, malahan ia amat dimurkai oleh Allah S.W.T. 
Undang-undang Syariah membenarkan perkahwinan dibubarkan melalui talaq (oleh pihak suami), khulu’ (juga dipanggil tebus talaq oleh pihak isteri), ta’liq (perceraian oleh pihak isteri menuntut syarat yang dimasukkan dalam perjanjian perkahwinan), atau fasakh (pembubaran perkahwinan oleh Mahkamah).[3] Hal ini bermakna, di dalam Hukum Syarak, si suami mempunyai kuasa ekslusif di mana kuasa talaq berada di tangannya. Perceraian yang paling biasa dilakukan adalah perceraian melalui talaq di mana pihak suami yang melafazkan talaq terhadap isterinya di dalam Mahkamah, serta dengan kebenaran Mahkamah. 

1.2  Jenis-jenis Talaq
Berkenaan dengan jenis-jenis talaq, talaq ahsan, talaq hasan dan talaq bidaan adalah mengenai cara talaq itu dilakukan, manakala talaq rajii beerti perceraian yang boleh dirujuk semula, dan talaq bain beerti perceraian yang tidak boleh dirujuk semula[4].
Bilangan talaq yang dibenarkan, dan hidup semula atau perkahwinan semula di antara pihak-pihak berkenaan, terdapat dalam Surah al-Baqarah 2:229, 2:231, dan 2:232 maksud sebagaimana berikut;-
“Talaq (yang dapat dirujuk) dua kali, setelah itu, boleh berbaik dengan cara yang ma’ruf atau bercerai dengan cara yang baik”.[5]
“Apabila kamu mentalaq perempuan, lagi mereka mendekati akhir iddahnya, maka ruju’lah mereka dengan cara yang ma’ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma’ruf. Janganlah kami ruju’ mereka untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian kami menganiaya mereka”.[6]
“Apabila kami mentalaq perempuan, lalu habis iddahnya, maka janganlah kamu menghalang mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang ma’ruf”[7]
Berkenaan dengan talaq rajii, Surah al-Baqarah 2:228 menyatakan maksud seperti berikut;-
“Wanita-wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru (tempoh suci atau haid). Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak meruju’nya dalam masa itu, jika mereka menghendaki ishlah (berbaik semula). Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya, menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para lelaki mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi maha Bijaksana”[8]
Manakala, merujuk kepada talaq bain, Surah Al-Baqarah 2:230 menyatakan sebagaimana berikut;-
“kemudian, jika si suami mentalaqnya (dengan talaq tiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk kahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah”[9]
Berkenaan dengan cara pembilangan talaq dan sama ada ia talaq rajii atau talaq bain, terdapat percanggahan pendapat mengenai kesan talaq tiga yang dilafazkan pada masa yang sama. Beberapa Hadith athar nampaknya menunjukkan bahawa di zaman Rasulullah Sollallahu A’alaihi Wasallam, talaq tiga yang dilafazkan pada masa yang sama sentiasa dikira sebagai lafaz satu talaq[10].
Dari ibn Abbas (r.a) diriwayatkan; “Adalah talaq di mana Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam, Abu Bakar dan dua tahun permulaan Khalifah Umar talaq tiga sekaligus dihitung satu kali. Lalu Umar ibn Khattab berkata ‘Sesungguhnya orang-orang telah terburu dalam perkara di mana yang baik bagi mereka adalah dilambatkan dan difikir secara mendalam. Alangkah baiknya kalau kita tetapkan sahaja hukum talaq tiga ke atas mereja’. Lantas diteruskan hukum atas mereka.[11]
Abu Sabha bertanyakan Ibn Abbas (r.a): “Adakah tiga talaq dihitung sebagai satu di zaman Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar dan tiga tahun permulaan Khalifah Umar? Ibn Abbas menjawab “Ya”[12].
“Abu Sabha berkata kepada Ibn Abbas (r.a): “Beritahulah kami sama ada apa tiga talaq (yang dilafazkan sekaligus) dihitung sebagai satu di zaman Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar.” Beliau menjawab, benarlah demikian, tetapi di zaman Khalifah Umar, ramai orang telah terburu-buru melafazkan talaq, lalu Umar telah menetapkannya (tiga talaq yang dilafazkan sekaligus)”[13]
Merujuk kepada Hadith riwayat seperti yang dinyatakan di atas, dapat difahami di sini bahawa talaq bain terjadi pada zaman Nabi Muhammad Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar as-Siddiq. Walau bagaimanapun, pada zaman pemerintahan tahun kedua Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah menetapkan talaq tiga sekaligus menjadi talaq tiga tanpa membangkitkan soal mengenai niat suami yang melafazkan talaq itu kerana sikap mereka yang terburu-buru melafazkan talaq. 

Seterusnya, terdapat talaq ahsan dan talaq hasan dianggap oleh kebanyakan para ulama sebagai cara melafazkan talaq mengikut cara yang sunnah iaitu cara yang sepatutnya. Talaq ahsan (cara yang paling diterima) merupakan perceraian dengan satu lafaz talaq dalam tempoh suci dari haid (tuhr), diikuti dengan menahan diri dari persetubuhan semasa tempoh iddah[14]. Talaq hasan (cara yang boleh diterima) merupakan tiga lafaz talaq yang dibuat berikut-ikut dalam tiga tempoh suci dari haid semasa tiada persetubuhan dilakukan, dan ia menjadi tidak boleh diruju’ selepas lafaz talaq yang ketiga[15]. Talaq bida’at ertinya apa jua cara talaq yang dilakukan tidak mengikut cara yang dikehendaki mengikut sunnah[16].

Dapat dilihat sini bahawa terdapat terdapat dua cara sunnah yang boleh dilafazkan oleh suami dengan mengikut cara yang sepatutnya. Talaq rajii iaitu talaq yang boleh dirujuk tidaklah membubarkan perkahwinan sehingga habis tempoh iddah. Ia boleh diruju’ oleh pihak suami dalam masa iddah, dan hubungan suami isteri boleh dipulihkan oleh pihak-pihak berkenaan tanpa perlunya dilangsungkan perkahwinan semula di antara mereka berdua. Manakala talaq bain iaitu talaq yang tidak boleh diruju’ adalah terbahagi kepada dua iaitu talaq bain sughra (talaq bain kecil) dan bain kubra (talaq bain besar). Dalam hal talaq bain sughra, suami itu boleh kembali berkahwin dengan isterinya yang telah diceraikan itu dengan diakadnikahkan semula. Ia boleh berlaku setelah habis tempoh iddah bagi talaq satu dan talaq dua. Dalam talaq bain kubra, yang terjadi setelah suami melafazkan talaq ketiga, isteri itu tidak boleh dikahwini semula oleh suami itu, kecuali jika isteri itu berkahwin dengan suami yang lain, persetubuhan sebenarnya telah berlaku, dan perkahwinannya dengan suami yang itu kemudiannya dibubarkan, atau suami keduanya itu telah meninggal dunia.[17]

1.3  Prosedur perceraian melalui Seksyen 47
Di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 47 mengadakan peruntukkan bagi seseorang suami atau isteri menyerahkan permohonan untuk perceraian dengan talaq atau dengan perintah daripada Mahkamah. Jika pihak yang satu lagi itu setuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu telah ‘pecahbelah dengan tak dapat dipulihkan’, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah’ (subseksyen 3)), dan hendaklah merekodkan hal satu talaq itu dan menghantar satu salinan rekod yang diperakui kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan (subseksyen 4)). Jika pihak satu lagi itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika mahkamah berpendapat mungkin terdapat sebuah perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada ‘seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi pihak isteri’ (subseksyen 5)). Seksyen 48 mengadakan peruntukkan bagi timbangtara oleh Hakam jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (syiqaq) selalu berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan. Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian, maka Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian (subseksyen 6)). 

Dapat dilihat sini, berdasarkan kepada peruntukkan seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya seseorang ingin memfailkan perceraian, mereka hendaklah menggunakan seksyen 47 dan dengan kebenaran Mahkamah sebelum melafazkan talaq tersebut. Sekiranya salah satu pihak tidak setuju dengan perceraian itu, maka Mahkamah hendaklah membentuk satu ahli jawatankuasa pendamai sekiranya terdapat unsur-unsur perdamaian dalam hubungan tersebut. 

Berkenaan dengan penalti bagi melafazkan talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, seksyen 124 memperuntukkan bahawa seseorang lelaki yang menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu. Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada peruntukkan undang-undang di Malaysia, si suami yang hendak melafazkan perceraian, hendaklah memfailkan tuntutan perceraian seksyen 47 di tempat mereka bermastautin. Sekiranya mereka melafazkan talaq di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah, mereka telah melakukan satu kesalahan dan akan dihukum denda dengan tidak melebihi satu ribu ringgit dan/atau penjara tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

1.4  Kes-kes yang berkaitan

Di dalam kes perceraian di Malaysia melalui seksyen 47 yang difailkan, terdapat beberapa isu, di mana pihak suami telah melafazkan perceraian di luar Mahkamah, dan apabila mereka ingin memfailkan perceraian, mereka tidak perlu memfailkan tuntutan perceraian di bawah seksyen 47, tetapi di bawah kes tuntutan pengesahan perceraian, bagi memastikan sama ada tersabit atau tidak lafaz yang dibuat oleh pihak suami di luar Mahkamah.

Sebagai contoh, Penulis merujuk kes Re Mohd Hussin Bin Abdul Ghani dan Hazimah[18] ; pihak suami dalam kes ini merupakan pengikut mazhab Hanafi dan pada masa talaq itu dilafazkan isteri itu hamil. Mahkamah Rendah Syariah memutuskan bahawa telah sabit perceraian dengan tiga talaq. Kedua-dua pihak suami dan isteri telah merayu kerana mereka ingin hidup bersama atau berkahwin semula, dan ini hanya boleh dilakukan jika diputuskan bahawa lafaz tiga talaq oleh suami itu hanya dikira sebagai cerai satu talaq. Mengikut pandangan Mohammed al-Shaybani dan Zafer, talaq yang dilafazkan terhadap perempuan yang hamil memberinya satu talaq sahaja. Lembaga Rayuan Syariah Kuala Lumpur memutuskan bahawa memandang kepada pendapat jumhur mazhab Hanafi dan amalan di beberapa negara yang mengikut mazhab Hanafi, lafaz tiga talaq sekaligus di masa yang sama dalam kes itu menjatuhkan satu talaq sahaja, lebih-lebih lagi apabila isteri itu hamil pada masa lafaz itu.

Selain itu, merujuk kepada kes yang lain, iaitu Zainab Binti Mahmood lwn Abd Latif bin Jusoh[19], lafaz talaq oleh suami telah dipertikaikan oleh pihak isteri. Mahkamah Rendah Syariah telah memutuskan jatuh talaq satu dan meluluskan permohonan suami untuk mendaftarkan perceraian itu. Jawatankuasa Rayuan Syariah di Selangor telah membenarkan rayuan pihak isteri dan memutuskan bahawa walaupun talaq itu hak suami, tetapi ianya tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya atau mengikut suka hati, sebaliknya hak talaq itu hendaklah digunakan dalam keadaan perlu sahaja dan dilakukan dengan penuh berhati-hati dan teliti. Terdapat kecacatan dan kerumitan dari segi fakta dan juga undang-undang dalam kes ini. Pihak suami mengatakan dia telah melafazkan talaq pada 10 Julai 1988, akan tetapi dalam permohonannya untuk berpoligami, dalam catitannya pada 13 September 1988, dia mengakui bahawa pihak isteri masih lagi isterinya dan isterinya itu bersetuju dengan permohonan berpoligami itum dan dia telah juga memberi nafkah isteri kepadanya hingga Disember 1989. Pihak isteri itu tidak bersetuju terhadap perceraian, oleh itu seharusnya jawatankuasa pendamai hendaklah dilantik di bawah seksyen 47 (5) supaya perceraian boleh berjalan dengan cara ma’ruf mengikut Hukum Syara’.

Dalam satu kes di Kuala Lumpur, iaitu Jasni lwn. Rahmah[20], pihak suami telah melafazkan talaq dengan mengatakan “dua talaq”. Sebelum itu, dia pernah menceraikan isterinya dengan satu talaq dan mereka telah ruju’ kembali. Hakim yang arif di Mahkamah Syariah telah memutuskan bahawa dengan perceraian kedua itu, tiga talaq telah jatuh, iaitu dua talaq telah ditambah kepada satu talaq yang dahulu itu, dan mereka tidak boleh ruju’ atau berkahwin semula. Pihak suami telah membuat rayuan. Oleh kerana terdapat keraguan tentang apa yang dimaksudkan oleh pihak suami semasa melafazkan kata-kata “dua talaq” itu. Lembaga Rayuan Syariah telah memintanya supaya mengangkat sumpah syarie untuk menjelaskan maksudnya. Pihak suami menjelaskan bahawa dia bermaksud yang dia menceraikan isterinya bagi kali kedua, dan dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Lembaga Rayuan Syariah telah menerima sumpah itu dan membenarkan rayuan, dan memerintahkan supaya perceraian itu didaftarkan sebagai talaq kedua.

1.5  Kesimpulan
Dirumuskan di sini bahawa, daripada nas-nas dalam al-Quran, dan Hadith, serta juga peruntukkan perundangan dan kes-kes yang disebut di atas, dapat difahami di sini bahawa perceraian walaupun dibenarkan dalam Islam, bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, tetapi sepatutnya hanya dilakukan dalam keadaan yang perlu sahaja apabila tiada lagi kemungkinan untuk pendamaian di antara suami isteri. Pihak suami juga tidak harus dengan sewenang-wenangnya melafazkan bilangan talaq tanpa memikirkan kesan setelah melafazkannya.


[1] Dr.Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Keluarga Islam Aturan Perkahwinan (1993), hlm. 129.
[2] Riwayat Ibn Majah, 1:650; Abu Daud, 6:227, dan al-Baihaqi, 7:322.        
[3] Seksyen 47, 49, 50 dan 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
[4] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 62.
[5] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:229
[6] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:231
[7] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:232
[8] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:228
[9] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:230
[10] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 64
[11] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3491
[12] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3492
[13] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3493
[14] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 65
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] (1990) 7 JH 189
[19] (1991) 8 JH 297
[20] (1991) 9 JH 213

No comments:

Post a Comment