BAB 2: PEMBUBARAN
PERKAHWINAN OLEH MAHKAMAH (FASAKH)
2.1
Definisi Fasakh
Fasakh boleh ditakrifkan sebagai pembubaran atau pembatalan
perkahwinan oleh perintaha kehakiman.[1]
Perceraian melalui tindakan Mahkamah juga dikenali sebagai tafriq dalam bahasa
Arab.[2]
Terdapat perbezaan pendapat di antara mazhab-mazhab tentang
kuasa mahkamah untuk memerintahkan pembubaran perkahwinan. Misalnya, pandangan
jumhur Hanafi berpendapat bahawa pembubaran perkahwinan adalah sepenuhnya hak
suami, dan mahkamah hanya mempunyai hak untuk bertindak sekiranya terdapat
kecacatan serius pada pihak suami yang membuatnya mati pucuk.[3]
Pandangan jumhur Shafii pula fasakh dibenarkan atas alasan kecacatan pihak
suami seperti mati pucuk, tak siuman, berpenyakit kusta, atau elephantiasis,
dan atas alasan pihak suami menjadi papa sehingga tidak mampu memberi nafkah
minimum yang ditetapkan, tetapi pembubaran perkahwinan tidak boleh diarahkan
jika suami itu berkemampuan, walaupun tiada berita mengenainya dan tiada nafkah
boleh diperolehi daripada hartanya.[4]
Fasakh dibenarkan atas alasan kecacatan pihak isteri, tetapi oleh kerana suami
mempunyai hak untuk talaq, maka permohonan untuk fasakh oleh pihak suami jarang
dibuat.
Pengikut Mazhab Maliki dan Hanbali telah membuat tafsiran
yang lebih luas mengenai kuasa mahkamah untuk memerintahkan pembubaran
perkahwinan. Mereka telah berpendapat bahawa pihak isteri boleh meminta hakim
untuk memerintahkan perceraian jika dia mendakwa bahawa suaminya telah
melakukan kemudharatan terhadapnya yang menjadikannya mustahil untuk meneruskan
kehidupan perkahwinan mereka, misalnya dengan memukul, menghina atau memaksanya
melakukan perkara tidak senonoh, dan tafsiran liberal ini telah pada amnya
diterimapakai dalam kebanyakan perundangan moden Timur Tengah, misalnya di
Mesir, Syria, Tunisia, Morocco, Iraq, Jordan, Algeria, dan Kuwait.[5]
2.2 Perbezaan di antara Talaq dan Fasakh
Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan
isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang
boleh diruju’semasa bekas isteri menjalani iddah), maka hubungan perkahwinan di
antara mereka berdua belum lagi terputus kecuali apabila talaq tersebut
bertukar menjadi talaq bain, iaitu sesudah habis iddahnya atau sejak awal-awal
lagi dia diceraikan dengan talaq tiga.[6]
Perceraian dengan
sebab fasakh menyebabkan hubungan perkahwinan mereka terputus. Mereka tidak
akan dapat kembali semula sebagai pasangan suami isteri kecuali dengan akad
perkahwinan yang baru sekalipun bekas isteri masih di dalam iddahnya.
Kedudukannya adalah sama seperti di dalam talaq bain. [7]
Perbezaan kedua dari sudut bilangan talaq, si suami yang
menceraikan isterinya menerusi talaq biasa begitu juga menerusi cara khulu’
akan berkurangan bilangan talaq yang dimilikinya, tetapi jika perceraian itu
berlaku menerusi fasakh, maka bilangan talaq tidak akan berkurangan sekalipun
dia merujuk kepadanya sesudah itu dengan akad perkahwinan yang baru.[8]
2.3 Isu-isu fasakh melalui rujukan kes-kes yang berkaitan
Di dalam topik ini, Penulis ingin merujuk seksyen 52 (1) Akta
Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 telah menerima
pakai tafsiran liberal mazhab Maliki dan menyatakan dua belas alasan yang
membolehkan seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak
mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh, termasuklah
alasan bahawa tempay di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama
tempoh lebih daripada satu tahun, bahawa suami telah cuai atau telah tidak
mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tiga bulan, bahawa suami telah
dihukum, penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih, bahawa suami telah tidak
menunaikan nafkah batin, bahawa suami telah gila atau sedang menghidap penyakit
kusta atau penyakit vitilago atau penyakit kelamin dalam keadaan boleh
berjangkit, bahawa suami menganiayanya, bahawa suami sengaja enggan
menyetubuhinya, bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya
tidak sah, dan suatu alasan am iaitu apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai
sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.[9]
2.3.1 Suami
tidak mampu memberi nafkah
Berdasarkan isu ini, Penulis ingin merujuk kes di Kedah, Sakdiah lwn. Ahmad[10],
pihak isteri telah menuntut sara nafkah daripada pihak suami. Mahkamah Kadi
telah menolak tuntutan isteri kerana suami dan isteri itu telah bersama-sama
membuat kerja bendang dan berkongsi hasil padi itu, Pihak isteri telah membuat
rayuan, dan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa nafkah wajib dibayar oleh pihak
suami tetapi oleh kerana suami itu telah jatuh papa, pihak isteri boleh memilih
sama ada untuk bersabar sehingga suaminya mendapat kerja yang boleh memberi
hasil untuk membayar sara nafkah, atau isteri itu boleh menuntut fasakh.
Di dalam satu kes yang lain pula di Kedah, iaitu kes Abdul Aziz lwn Che Pah[11],
pihak isteri menuntut fasakh kerana suaminya papa. Saksi-saksi pihak isteri
telah memberi keterangan bahawa pihak suami tidak mempunyai apa-apa pekerjaan.
Hal ini dinafikan oleh saksi-saksi pihak suami. Mahkamah mendapati tiada saksi
yang tepat menunjukkan yang suami itu tidak papa dan meminta pihak isteri
bersumpah yaminul istikzar. Mahkamah selepas itu memerintahkan tempoh muhlah
selama tiga hari. Selepas tempoh muhlah itu, pihak isteri dan saksi-saksinya
memberi keterangan bahawa pihak suami tidak pernah memberi nafkah dalam tempoh
tersebut. Mahkamah dengan itu memutuskan bahawa suami itu seorang yang papa dan
membenarkan tuntutan fasakh isteri itu. Rayuan pihak suami kepada Mahkamah
Rayuan Syariah telah ditolak dengan sebulat suara.
Dapat difahami di sini, berdasarkan dua kes yang Penulis
nyatakan di atas, bahawa pihak isteri hendaklah mengemukakan keterangannya di
hadapan Mahkamah, beserta dengan keterangan-keterangan daripada saksi untuk
mengukuhkan dakwaannya. Di dalam kes di Malaysia ini, seringkali kita dengari
bahawa pihak isteri ingin memfailkan perceraian secara fasakh kerana suami
tidak memberi nafkah disebabkan keadaan mereka yang papa. Oleh yang demikian,
Mahkamah boleh menerima dakwaan mereka setelah Mahkamah berpuas hati dengan membuat
siasatan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum mensabitkan pembubaran perkahwinan
antara suami isteri tersebut.
2.3.2 Suami tidak diketahui berada di mana
Bagi mengupas isu ini, Penulis ingin merujuk kes-kes yang
berkaitan, seperti kes Atikah lwn. Razali[12]
di Kelantan, iaitu sebelum berkuatkuasanya Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
1983. Pihak-pihak yang berkenaan berasal dari Kemboja dan telah berkahwin di
Phnom Penh pada tahun 1965. Pihak suami telah ditawan oleh Komunis dalam tahun
1972 dan pihak isteri telah melarikan diri ke Siam dan kemudiannya ke Malaysia
dalam tahun 1975. Semenjak pihak suami ditawan oleh Komunis, suami itu tidak
dapat dikesan, dan harta kepunyaannya juga tidak ada. Keterangan pihak isteri
telah disokong oleh dua orang saksi lelaki. Mahkamah mendapati bahawa suami itu
termasuk dalam golongan mu’sir dan meminta pihak isteri bersumpah istizhar.
Setelah isteri itu bersumpah, mahkamah membenarkan tuntutan fasakh itu.
Dalam satu kes di Kelantan selepas berkuatkuasanya Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam 1983, di dalam kes Rafiah lwn. Hassan[13], pihak-pihak yang
berkenaan telah berkahwin pada 1hb Julai 1981. Pada 10hb Mac 1987, pihak suami
seperti biasa turun dari rumah menjalankan urusan perniagaannya tetapi semenjak
itu tidak balik-balik lagi. Pihak suami tidak pernah meninggalkan nafkah kepada
pihak isteri dan tidak ada meninggalkan harta untuk nafkah. Pada 19hb Ogos
1987, pihak isteri telah membuat tuntutan fasakh di bawah seksyen 38 (f)
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983. Setelah mendengar saksi-saksi,
mahkamah menerima tuntutan pihak isteri disebabkan pihak suami ghaib dan
membenarkan perceraian fasakh di bawah fasal am dalam seksyen 38 (f) Enakmen
tersebut.
Penulis merujuk juga kes di Kuala Lumpur, Habsah lwn. Ahmad[14], pihak-pihak yang
berkeaan telah berkahwin pada tahun 1979. Pihak suami telah membawa isteri itu
ke Singapura di mana, menurut isteri, suaminya telah cuba memaksanya menjadi
pelacur. Pihak isteri telah kembali kepada keluarganya pada tahun 1980.
Suaminya tidak pernah mengirim nafkag kepadanya. Saman tidak dapat disampaikan
kepada pihak suami dan mahkamah memerintahkan supaya nama pihak suami
diiklankan di akhbar tempatan. Selepas iklan itu disiarkan, mahkamah berpuas
hati bahawa suami itu ghaib dan telah tidak meninggalkan harta dalam lingkungan
60 batu untuk menjadi nafkah isteri. Setelah pihak isteri mengangkat sumpah
istizhar dan atas keterangan dua orang saksi, mahkamah membenarkan tuntutan fasakh
itu.
Merujuk kepada ketiga-tiga kes seperti yang dinyatakan di
atas, dapat difahami di sini bahawa sekiranya pihak isteri tidak tahu di
manakah keberadaan suami mereka dalam tempoh lebih daripada 1 tahun, maka pihak
isteri boleh memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah. Ini selaras dengan
peruntukkan-peruntukkan seksyen yang sedia ada seperti seksyen 52 Akta
Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dalam
pembubaran perkahwinan pihak-pihak.
2.3.3 Suami
tidak hadir di Mahkamah
Kerapkali apabila pihak isteri ingin memfailkan tuntutan
perceraian di Mahkamah, kebiasaannya pihak suami enggan memberikan kerjasama
yang baik kerana mereka tidak bersetuju untuk menceraikan isteri mereka.
Sebagai contoh bagi kes ketidakhadiran suami ke Mahkamah,
Penulis telah merujuk kes di Melaka, iaitu Rosnani
lwn. San Ahmed[15],
pihak suami tidak hadir di Mahkamah walaupun saman telah diterima olehnya.
Pihak suami telah mengabaikan pihak isteri dan anak-anak mereka selama hampir
dua tahun, dan telah tidak memberikan nafkah kepada mereka semenjak suami itu
berkahwin dengan perempuan lain. Keterangan isteri itu telah disokong oleh dua
orang saksi. Mahkamah mensabitkan tuntutan fasakh oleh pihak isteri. Oleh
kerana pihak-pihak berkenaan pernah bercerai sebelum ini dengan satu talaq,
maka mahkamah menyatakan bahawa kes ini adalah merupakan talaq kali kedua.
Berdasarkan kes yang dinyatakan di atas, apabila saman telah
berjaya diserahsampaikan kepada pihak suami, namun disebabkan segelintir yang
tidak bertanggungjawab, telah membiarkan si isteri terkontang kanting di
Mahkamah bersendirian, kerana mereka percaya bahawa kuasa talaq berada di
tangan mereka. Perbuatan mereka secara tidak langsung ini telah mendatangkan
kemudharatan dan penganiayaan kepada pihak isteri secara emosi dan mental
berhadapan dengan isu seperti ini. Oleh yang demikian, fasakh merupakan jalan
yang terbaik sekiranya tidak wujud jalan perdamaian antara pihak-pihak.
2.3.4 Fasakh kerana suami menganiaya isteri
Dalam satu kes di Selangor, Hairun lwn. Omar[16],
Hakim yang arif telah menolak tuntutan pihak isteri untuk fasakh atas alasan
pihak suami telah menganiayainya menurut seksyen 52 (1) Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984. Walaupun hakim yang arif berpendapat
bahawa pihak suami telah melanggar hukum syara’ dengan memukul dan mencederakan
isterinya, permohonan pihak isteri itu ditolak kerana hakim yang arif
mentafssirkan perkataan “lazim menyakiti” dalam subperenggan (i) seksyen itu
sebagai beerti “kerap, acap kali, berkali-kali, sering kali” dan memutuskan
bahawa tindakan suami itu memukul isterinya sebanyak dua kali belum lagi
diertikan “lazim menyakiti”. Rayuan pihak isteri telah dibenarkan oleh
Jawatankuasa Rayuan Syariah yang memutuskan bahawa hakim yang arif telah tersilap
mentafsirkan seksyen 52 (1) (h). Jawatankuasa Rayuan telah menjelaskan bahawa
perkara pokok di bawah seksyen 2 (1) (h) iaitu penganiayaan dan subperenggan
(i) hingga (iv) hanyalah contoh-contoh “antara lain” mengenai penganiayaan.
Penganiayaan boleh berlaku di dalam dua bentuk, iaitu dalam bentuk fizikal atau
dalam bentuk mental, dan “lazim menyakiti” tidak bermakna memukul dengan cara
fizikal kerana terdapat perbezaan di antara “assault” (menyakiti), dan
“battery” bermakna memukul dengan cara fizikal tetapi perkataan “assault” tidak
begitu. Perkataan ‘lazim’ hanya relevan di dalam kes penganiayaan berbentuk
mental seperti menyakiti hati dan perasaan isteri. Ia tidak berbangkit dalam
kes penganiayaan fizikal kerana memukul walaupun tidak lazim, mungkin mencukupi
untuk membuktikan penganiayaan terhadap isteri.
Dengan merujuk kes di atas, dapat disimpulkan di sini bahawa
sekiranya wujud penganiayaan terhadap isteri, seperti memukul (tidak kerap),
maka pihak isteri tetap boleh memfailkan tuntutan fasakh. Ini kerana tindakan
yang dilakukan oleh pihak suami akan memberikan kesan dalam bentuk mental
kepada pihak isteri berpanjangan.
2.4 Kesimpulan
Rumusan daripada bab ini, Penulis dapat simpulkan bahawa
tuntutan Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan dengan kebenaran Mahkamah.
Terdapat beberapa isu yang sering menjadi pertikaian sekiranya pihak isteri
ingin memfailkan tuntutan ini, antaranya adalah, ketidakhadiran suami walaupun
saman telah berjaya diserahkan, suami tidak memberi nafkah zahir dan/atau
batin, suami telah ghaib melebihi tempoh satu tahun dan suami telah menganiaya
isteri. Selain dari sebab ini, dan sekiranya wujud sebab-sebab lain yang
difikirkan sesuai yang boleh diiktiraf oleh Mahkamah Syariah untuk membubarkan
perkahwinan pihak-pihak yang mungkin boleh memberikan kemudharatan terhadap
isteri dan anak-anak, maka pihak Mahkamah hendaklah mempertimbangkan alasan
tersebut dan boleh untuk mensabitkan fasakh tersebut. Ketidakhadiran pihak
suami ke Mahkamah kerana sebahagian mereka beranggapan kuasa talaq berada di
tangan mereka, dan kelakuan mereka ini secara terus menerus telah mendera pihak
isteri secara mental dan mendatangkan penganiayaan terhadap isteri. Dengan
adanya pembubaran perkahwinan, iaitu Fasakh, maka pihak isteri juga diberikan
hak yang sewajarnya untuk melepaskan diri daripada seseorang yang tidak
bertanggungjawab dengan memfailkan tuntutan fasakh ini di Mahkamah Syariah di
tempat pihak isteri bermastautin.
[1] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan
Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book
Services, hlm. 97
[2] Ibid
[3]
Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan
Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book
Services, hlm. 98-99
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Dr.Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Keluarga Islam
Aturan Perkahwinan (1993), hlm. 186-187
[7] Ibid
[8]
Ibid
[9]
Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian
di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services,
hlm. 99-100
[10] (1968) 2 JH 101
[11] (1972) 2 JH 113
[12] (1978) 6 JH 108
[13] (1987) 6 JH 112
[14] (1985) 6 JH 320
[15] (1989) 7 JH 102
[16] (1990) 8 JH 289
No comments:
Post a Comment