BAB 1: PERCERAIAN
1.1 Definisi Perceraian
Maksud talaq atau perceraian, jika dilihat dari sudut bahasa
mengertikan tindakan melepas atau menghuraikan ikatan. Dari sudut istilah ia
bermaksud tindakan melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz (perkataan) yang
tertentu, iaitu talaq (perceraian), firaq (perpisahan) dan sarah (pelepasan),
seperti seorang suami berkata kepada isterinya; “Engkau telah ku talaqkan atau Engkau seorang perempuan yang sudah
ditalaq dan sebagainya”.[1]
Sabda Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam yang bermaksud;
“Perbuatan halal yang amat dimurkai
Allah ialah talaq (perceraian)”[2]
Merujuk kepada pengertian talaq beserta sabda Rasulullah
Sollallahu A’alaihi Wasallam di atas, dapatlah difahami di sini bahawa
perceraian itu sememangnya adalah dibenarkan di dalam Islam, namun ia bukanlah
sesuatu yang digalakkan oleh Islam untuk mengamalkannya, malahan ia amat
dimurkai oleh Allah S.W.T.
Undang-undang Syariah membenarkan perkahwinan dibubarkan
melalui talaq (oleh pihak suami), khulu’ (juga dipanggil tebus talaq oleh pihak
isteri), ta’liq (perceraian oleh pihak isteri menuntut syarat yang dimasukkan
dalam perjanjian perkahwinan), atau fasakh (pembubaran perkahwinan oleh
Mahkamah).[3]
Hal ini bermakna, di dalam Hukum Syarak, si suami mempunyai kuasa ekslusif di
mana kuasa talaq berada di tangannya. Perceraian yang paling biasa dilakukan
adalah perceraian melalui talaq di mana pihak suami yang melafazkan talaq
terhadap isterinya di dalam Mahkamah, serta dengan kebenaran Mahkamah.
1.2 Jenis-jenis Talaq
Berkenaan dengan jenis-jenis talaq, talaq ahsan, talaq hasan
dan talaq bidaan adalah mengenai cara talaq itu dilakukan, manakala talaq rajii
beerti perceraian yang boleh dirujuk semula, dan talaq bain beerti perceraian
yang tidak boleh dirujuk semula[4].
Bilangan talaq yang dibenarkan, dan hidup semula atau
perkahwinan semula di antara pihak-pihak berkenaan, terdapat dalam Surah
al-Baqarah 2:229, 2:231, dan 2:232 maksud sebagaimana berikut;-
“Talaq (yang dapat
dirujuk) dua kali, setelah itu, boleh berbaik dengan cara yang ma’ruf atau
bercerai dengan cara yang baik”.[5]
“Apabila kamu
mentalaq perempuan, lagi mereka mendekati akhir iddahnya, maka ruju’lah mereka
dengan cara yang ma’ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma’ruf.
Janganlah kami ruju’ mereka untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian
kami menganiaya mereka”.[6]
“Apabila kami
mentalaq perempuan, lalu habis iddahnya, maka janganlah kamu menghalang mereka
kahwin lagi dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara
mereka dengan cara yang ma’ruf”[7]
Berkenaan dengan talaq rajii, Surah al-Baqarah 2:228
menyatakan maksud seperti berikut;-
“Wanita-wanita
yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru (tempoh suci atau
haid). Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam
rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya
berhak meruju’nya dalam masa itu, jika mereka menghendaki ishlah (berbaik
semula). Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya,
menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para lelaki mempunyai satu tingkatan
kelebihan daripada mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi maha Bijaksana”[8]
Manakala, merujuk kepada talaq bain, Surah Al-Baqarah 2:230
menyatakan sebagaimana berikut;-
“kemudian, jika si
suami mentalaqnya (dengan talaq tiga), maka perempuan itu tidak halal lagi
baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain
itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan
isteri) untuk kahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah”[9]
Berkenaan dengan cara pembilangan talaq dan sama ada ia talaq
rajii atau talaq bain, terdapat percanggahan pendapat mengenai kesan talaq tiga
yang dilafazkan pada masa yang sama. Beberapa Hadith athar nampaknya
menunjukkan bahawa di zaman Rasulullah Sollallahu A’alaihi Wasallam, talaq tiga
yang dilafazkan pada masa yang sama sentiasa dikira sebagai lafaz satu talaq[10].
Dari ibn Abbas
(r.a) diriwayatkan; “Adalah talaq di mana Rasulullah Sollallahu A’laihi
Wasallam, Abu Bakar dan dua tahun permulaan Khalifah Umar talaq tiga sekaligus
dihitung satu kali. Lalu Umar ibn Khattab berkata ‘Sesungguhnya orang-orang
telah terburu dalam perkara di mana yang baik bagi mereka adalah dilambatkan
dan difikir secara mendalam. Alangkah baiknya kalau kita tetapkan sahaja hukum
talaq tiga ke atas mereja’. Lantas diteruskan hukum atas mereka.[11]
Abu Sabha
bertanyakan Ibn Abbas (r.a): “Adakah tiga talaq dihitung sebagai satu di zaman
Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar dan tiga tahun permulaan
Khalifah Umar? Ibn Abbas menjawab “Ya”[12].
“Abu Sabha berkata
kepada Ibn Abbas (r.a): “Beritahulah kami sama ada apa tiga talaq (yang dilafazkan
sekaligus) dihitung sebagai satu di zaman Rasulullah Sollallahu A’laihi
Wasallam dan Abu Bakar.” Beliau menjawab, benarlah demikian, tetapi di zaman
Khalifah Umar, ramai orang telah terburu-buru melafazkan talaq, lalu Umar telah
menetapkannya (tiga talaq yang dilafazkan sekaligus)”[13]
Merujuk kepada Hadith riwayat seperti yang dinyatakan di
atas, dapat difahami di sini bahawa talaq bain terjadi pada zaman Nabi Muhammad
Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar as-Siddiq. Walau bagaimanapun, pada
zaman pemerintahan tahun kedua Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah menetapkan
talaq tiga sekaligus menjadi talaq tiga tanpa membangkitkan soal mengenai niat
suami yang melafazkan talaq itu kerana sikap mereka yang terburu-buru
melafazkan talaq.
Seterusnya, terdapat talaq ahsan dan talaq hasan dianggap
oleh kebanyakan para ulama sebagai cara melafazkan talaq mengikut cara yang
sunnah iaitu cara yang sepatutnya. Talaq ahsan (cara yang paling diterima)
merupakan perceraian dengan satu lafaz talaq dalam tempoh suci dari haid
(tuhr), diikuti dengan menahan diri dari persetubuhan semasa tempoh iddah[14].
Talaq hasan (cara yang boleh diterima) merupakan tiga lafaz talaq yang dibuat
berikut-ikut dalam tiga tempoh suci dari haid semasa tiada persetubuhan
dilakukan, dan ia menjadi tidak boleh diruju’ selepas lafaz talaq yang ketiga[15].
Talaq bida’at ertinya apa jua cara talaq yang dilakukan tidak mengikut cara
yang dikehendaki mengikut sunnah[16].
Dapat dilihat sini bahawa terdapat terdapat dua cara sunnah
yang boleh dilafazkan oleh suami dengan mengikut cara yang sepatutnya. Talaq
rajii iaitu talaq yang boleh dirujuk tidaklah membubarkan perkahwinan sehingga
habis tempoh iddah. Ia boleh diruju’ oleh pihak suami dalam masa iddah, dan
hubungan suami isteri boleh dipulihkan oleh pihak-pihak berkenaan tanpa
perlunya dilangsungkan perkahwinan semula di antara mereka berdua. Manakala
talaq bain iaitu talaq yang tidak boleh diruju’ adalah terbahagi kepada dua
iaitu talaq bain sughra (talaq bain kecil) dan bain kubra (talaq bain besar).
Dalam hal talaq bain sughra, suami itu boleh kembali berkahwin dengan isterinya
yang telah diceraikan itu dengan diakadnikahkan semula. Ia boleh berlaku
setelah habis tempoh iddah bagi talaq satu dan talaq dua. Dalam talaq bain
kubra, yang terjadi setelah suami melafazkan talaq ketiga, isteri itu tidak
boleh dikahwini semula oleh suami itu, kecuali jika isteri itu berkahwin dengan
suami yang lain, persetubuhan sebenarnya telah berlaku, dan perkahwinannya
dengan suami yang itu kemudiannya dibubarkan, atau suami keduanya itu telah
meninggal dunia.[17]
1.3 Prosedur perceraian melalui Seksyen 47
Di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984, seksyen 47 mengadakan peruntukkan bagi seseorang suami atau
isteri menyerahkan permohonan untuk perceraian dengan talaq atau dengan
perintah daripada Mahkamah. Jika pihak yang satu lagi itu setuju terhadap
perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu telah
‘pecahbelah dengan tak dapat dipulihkan’, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan
suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah’ (subseksyen 3)), dan hendaklah
merekodkan hal satu talaq itu dan menghantar satu salinan rekod yang diperakui
kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan (subseksyen 4)). Jika pihak satu lagi
itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika mahkamah berpendapat
mungkin terdapat sebuah perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu
jawatankuasa pendamai terdiri daripada ‘seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi
dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi
bagi pihak isteri’ (subseksyen 5)). Seksyen 48 mengadakan peruntukkan bagi
timbangtara oleh Hakam jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (syiqaq)
selalu berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan. Jika Hakam
berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan
perceraian, maka Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi
kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian (subseksyen 6)).
Dapat dilihat sini, berdasarkan kepada peruntukkan seksyen 47
Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya
seseorang ingin memfailkan perceraian, mereka hendaklah menggunakan seksyen 47
dan dengan kebenaran Mahkamah sebelum melafazkan talaq tersebut. Sekiranya
salah satu pihak tidak setuju dengan perceraian itu, maka Mahkamah hendaklah
membentuk satu ahli jawatankuasa pendamai sekiranya terdapat unsur-unsur
perdamaian dalam hubungan tersebut.
Berkenaan dengan penalti bagi melafazkan talaq di luar
Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, seksyen 124 memperuntukkan bahawa
seseorang lelaki yang menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq di luar
mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah hendaklah dihukum dengan denda tidak
melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau
kedua-duanya denda dan penjara itu. Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada
peruntukkan undang-undang di Malaysia, si suami yang hendak melafazkan
perceraian, hendaklah memfailkan tuntutan perceraian seksyen 47 di tempat
mereka bermastautin. Sekiranya mereka melafazkan talaq di luar Mahkamah tanpa
kebenaran Mahkamah, mereka telah melakukan satu kesalahan dan akan dihukum
denda dengan tidak melebihi satu ribu ringgit dan/atau penjara tidak melebih
enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
1.4 Kes-kes yang berkaitan
Di dalam kes perceraian di Malaysia melalui seksyen 47 yang
difailkan, terdapat beberapa isu, di mana pihak suami telah melafazkan
perceraian di luar Mahkamah, dan apabila mereka ingin memfailkan perceraian,
mereka tidak perlu memfailkan tuntutan perceraian di bawah seksyen 47, tetapi
di bawah kes tuntutan pengesahan perceraian, bagi memastikan sama ada tersabit
atau tidak lafaz yang dibuat oleh pihak suami di luar Mahkamah.
Sebagai contoh, Penulis merujuk kes Re Mohd Hussin Bin Abdul Ghani dan Hazimah[18] ; pihak suami
dalam kes ini merupakan pengikut mazhab Hanafi dan pada masa talaq itu
dilafazkan isteri itu hamil. Mahkamah Rendah Syariah memutuskan bahawa telah
sabit perceraian dengan tiga talaq. Kedua-dua pihak suami dan isteri telah
merayu kerana mereka ingin hidup bersama atau berkahwin semula, dan ini hanya
boleh dilakukan jika diputuskan bahawa lafaz tiga talaq oleh suami itu hanya
dikira sebagai cerai satu talaq. Mengikut pandangan Mohammed al-Shaybani dan
Zafer, talaq yang dilafazkan terhadap perempuan yang hamil memberinya satu
talaq sahaja. Lembaga Rayuan Syariah Kuala Lumpur memutuskan bahawa memandang
kepada pendapat jumhur mazhab Hanafi dan amalan di beberapa negara yang
mengikut mazhab Hanafi, lafaz tiga talaq sekaligus di masa yang sama dalam kes
itu menjatuhkan satu talaq sahaja, lebih-lebih lagi apabila isteri itu hamil
pada masa lafaz itu.
Selain itu, merujuk kepada kes yang lain, iaitu Zainab Binti
Mahmood lwn Abd Latif bin Jusoh[19],
lafaz talaq oleh suami telah dipertikaikan oleh pihak isteri. Mahkamah Rendah
Syariah telah memutuskan jatuh talaq satu dan meluluskan permohonan suami untuk
mendaftarkan perceraian itu. Jawatankuasa Rayuan Syariah di Selangor telah
membenarkan rayuan pihak isteri dan memutuskan bahawa walaupun talaq itu hak
suami, tetapi ianya tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya atau
mengikut suka hati, sebaliknya hak talaq itu hendaklah digunakan dalam keadaan perlu
sahaja dan dilakukan dengan penuh berhati-hati dan teliti. Terdapat kecacatan
dan kerumitan dari segi fakta dan juga undang-undang dalam kes ini. Pihak suami
mengatakan dia telah melafazkan talaq pada 10 Julai 1988, akan tetapi dalam
permohonannya untuk berpoligami, dalam catitannya pada 13 September 1988, dia
mengakui bahawa pihak isteri masih lagi isterinya dan isterinya itu bersetuju
dengan permohonan berpoligami itum dan dia telah juga memberi nafkah isteri
kepadanya hingga Disember 1989. Pihak isteri itu tidak bersetuju terhadap
perceraian, oleh itu seharusnya jawatankuasa pendamai hendaklah dilantik di
bawah seksyen 47 (5) supaya perceraian boleh berjalan dengan cara ma’ruf
mengikut Hukum Syara’.
Dalam satu kes di Kuala Lumpur, iaitu Jasni lwn. Rahmah[20], pihak suami
telah melafazkan talaq dengan mengatakan “dua talaq”. Sebelum itu, dia pernah
menceraikan isterinya dengan satu talaq dan mereka telah ruju’ kembali. Hakim
yang arif di Mahkamah Syariah telah memutuskan bahawa dengan perceraian kedua itu,
tiga talaq telah jatuh, iaitu dua talaq telah ditambah kepada satu talaq yang
dahulu itu, dan mereka tidak boleh ruju’ atau berkahwin semula. Pihak suami
telah membuat rayuan. Oleh kerana terdapat keraguan tentang apa yang
dimaksudkan oleh pihak suami semasa melafazkan kata-kata “dua talaq” itu.
Lembaga Rayuan Syariah telah memintanya supaya mengangkat sumpah syarie untuk
menjelaskan maksudnya. Pihak suami menjelaskan bahawa dia bermaksud yang dia
menceraikan isterinya bagi kali kedua, dan dia tidak berniat untuk menceraikan
isterinya dengan talaq tiga. Lembaga Rayuan Syariah telah menerima sumpah itu
dan membenarkan rayuan, dan memerintahkan supaya perceraian itu didaftarkan
sebagai talaq kedua.
1.5 Kesimpulan
Dirumuskan di sini bahawa, daripada nas-nas dalam al-Quran,
dan Hadith, serta juga peruntukkan perundangan dan kes-kes yang disebut di
atas, dapat difahami di sini bahawa perceraian walaupun dibenarkan dalam Islam,
bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, tetapi
sepatutnya hanya dilakukan dalam keadaan yang perlu sahaja apabila tiada lagi
kemungkinan untuk pendamaian di antara suami isteri. Pihak suami juga tidak
harus dengan sewenang-wenangnya melafazkan bilangan talaq tanpa memikirkan
kesan setelah melafazkannya.
[1]
Dr.Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Keluarga
Islam Aturan Perkahwinan (1993), hlm. 129.
[2] Riwayat Ibn Majah, 1:650; Abu Daud, 6:227, dan
al-Baihaqi, 7:322.
[3] Seksyen 47, 49, 50 dan 52 Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
[4] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan
Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book
Services, hlm. 62.
[5] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:229
[6] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:231
[7]
Al-Quran, Al-Baqarah, 2:232
[8] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:228
[9]
Al-Quran, Al-Baqarah, 2:230
[10]
Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan
Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book
Services, hlm. 64
[11]
Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3491
[12]
Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3492
[13] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3493
[14] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan
Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book
Services, hlm. 65
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] (1990) 7 JH 189
[19] (1991) 8 JH 297
[20] (1991) 9 JH 213