Monday, February 13, 2017

PERCERAIAN



BAB 1: PERCERAIAN
1.1  Definisi Perceraian

Maksud talaq atau perceraian, jika dilihat dari sudut bahasa mengertikan tindakan melepas atau menghuraikan ikatan. Dari sudut istilah ia bermaksud tindakan melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz (perkataan) yang tertentu, iaitu talaq (perceraian), firaq (perpisahan) dan sarah (pelepasan), seperti seorang suami berkata kepada isterinya; “Engkau telah ku talaqkan atau Engkau seorang perempuan yang sudah ditalaq dan sebagainya”.[1]
Sabda Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam yang bermaksud;
“Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talaq (perceraian)”[2]

Merujuk kepada pengertian talaq beserta sabda Rasulullah Sollallahu A’alaihi Wasallam di atas, dapatlah difahami di sini bahawa perceraian itu sememangnya adalah dibenarkan di dalam Islam, namun ia bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh Islam untuk mengamalkannya, malahan ia amat dimurkai oleh Allah S.W.T. 
Undang-undang Syariah membenarkan perkahwinan dibubarkan melalui talaq (oleh pihak suami), khulu’ (juga dipanggil tebus talaq oleh pihak isteri), ta’liq (perceraian oleh pihak isteri menuntut syarat yang dimasukkan dalam perjanjian perkahwinan), atau fasakh (pembubaran perkahwinan oleh Mahkamah).[3] Hal ini bermakna, di dalam Hukum Syarak, si suami mempunyai kuasa ekslusif di mana kuasa talaq berada di tangannya. Perceraian yang paling biasa dilakukan adalah perceraian melalui talaq di mana pihak suami yang melafazkan talaq terhadap isterinya di dalam Mahkamah, serta dengan kebenaran Mahkamah. 

1.2  Jenis-jenis Talaq
Berkenaan dengan jenis-jenis talaq, talaq ahsan, talaq hasan dan talaq bidaan adalah mengenai cara talaq itu dilakukan, manakala talaq rajii beerti perceraian yang boleh dirujuk semula, dan talaq bain beerti perceraian yang tidak boleh dirujuk semula[4].
Bilangan talaq yang dibenarkan, dan hidup semula atau perkahwinan semula di antara pihak-pihak berkenaan, terdapat dalam Surah al-Baqarah 2:229, 2:231, dan 2:232 maksud sebagaimana berikut;-
“Talaq (yang dapat dirujuk) dua kali, setelah itu, boleh berbaik dengan cara yang ma’ruf atau bercerai dengan cara yang baik”.[5]
“Apabila kamu mentalaq perempuan, lagi mereka mendekati akhir iddahnya, maka ruju’lah mereka dengan cara yang ma’ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma’ruf. Janganlah kami ruju’ mereka untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian kami menganiaya mereka”.[6]
“Apabila kami mentalaq perempuan, lalu habis iddahnya, maka janganlah kamu menghalang mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang ma’ruf”[7]
Berkenaan dengan talaq rajii, Surah al-Baqarah 2:228 menyatakan maksud seperti berikut;-
“Wanita-wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru (tempoh suci atau haid). Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak meruju’nya dalam masa itu, jika mereka menghendaki ishlah (berbaik semula). Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya, menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para lelaki mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi maha Bijaksana”[8]
Manakala, merujuk kepada talaq bain, Surah Al-Baqarah 2:230 menyatakan sebagaimana berikut;-
“kemudian, jika si suami mentalaqnya (dengan talaq tiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk kahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah”[9]
Berkenaan dengan cara pembilangan talaq dan sama ada ia talaq rajii atau talaq bain, terdapat percanggahan pendapat mengenai kesan talaq tiga yang dilafazkan pada masa yang sama. Beberapa Hadith athar nampaknya menunjukkan bahawa di zaman Rasulullah Sollallahu A’alaihi Wasallam, talaq tiga yang dilafazkan pada masa yang sama sentiasa dikira sebagai lafaz satu talaq[10].
Dari ibn Abbas (r.a) diriwayatkan; “Adalah talaq di mana Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam, Abu Bakar dan dua tahun permulaan Khalifah Umar talaq tiga sekaligus dihitung satu kali. Lalu Umar ibn Khattab berkata ‘Sesungguhnya orang-orang telah terburu dalam perkara di mana yang baik bagi mereka adalah dilambatkan dan difikir secara mendalam. Alangkah baiknya kalau kita tetapkan sahaja hukum talaq tiga ke atas mereja’. Lantas diteruskan hukum atas mereka.[11]
Abu Sabha bertanyakan Ibn Abbas (r.a): “Adakah tiga talaq dihitung sebagai satu di zaman Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar dan tiga tahun permulaan Khalifah Umar? Ibn Abbas menjawab “Ya”[12].
“Abu Sabha berkata kepada Ibn Abbas (r.a): “Beritahulah kami sama ada apa tiga talaq (yang dilafazkan sekaligus) dihitung sebagai satu di zaman Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar.” Beliau menjawab, benarlah demikian, tetapi di zaman Khalifah Umar, ramai orang telah terburu-buru melafazkan talaq, lalu Umar telah menetapkannya (tiga talaq yang dilafazkan sekaligus)”[13]
Merujuk kepada Hadith riwayat seperti yang dinyatakan di atas, dapat difahami di sini bahawa talaq bain terjadi pada zaman Nabi Muhammad Sollallahu A’laihi Wasallam dan Abu Bakar as-Siddiq. Walau bagaimanapun, pada zaman pemerintahan tahun kedua Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah menetapkan talaq tiga sekaligus menjadi talaq tiga tanpa membangkitkan soal mengenai niat suami yang melafazkan talaq itu kerana sikap mereka yang terburu-buru melafazkan talaq. 

Seterusnya, terdapat talaq ahsan dan talaq hasan dianggap oleh kebanyakan para ulama sebagai cara melafazkan talaq mengikut cara yang sunnah iaitu cara yang sepatutnya. Talaq ahsan (cara yang paling diterima) merupakan perceraian dengan satu lafaz talaq dalam tempoh suci dari haid (tuhr), diikuti dengan menahan diri dari persetubuhan semasa tempoh iddah[14]. Talaq hasan (cara yang boleh diterima) merupakan tiga lafaz talaq yang dibuat berikut-ikut dalam tiga tempoh suci dari haid semasa tiada persetubuhan dilakukan, dan ia menjadi tidak boleh diruju’ selepas lafaz talaq yang ketiga[15]. Talaq bida’at ertinya apa jua cara talaq yang dilakukan tidak mengikut cara yang dikehendaki mengikut sunnah[16].

Dapat dilihat sini bahawa terdapat terdapat dua cara sunnah yang boleh dilafazkan oleh suami dengan mengikut cara yang sepatutnya. Talaq rajii iaitu talaq yang boleh dirujuk tidaklah membubarkan perkahwinan sehingga habis tempoh iddah. Ia boleh diruju’ oleh pihak suami dalam masa iddah, dan hubungan suami isteri boleh dipulihkan oleh pihak-pihak berkenaan tanpa perlunya dilangsungkan perkahwinan semula di antara mereka berdua. Manakala talaq bain iaitu talaq yang tidak boleh diruju’ adalah terbahagi kepada dua iaitu talaq bain sughra (talaq bain kecil) dan bain kubra (talaq bain besar). Dalam hal talaq bain sughra, suami itu boleh kembali berkahwin dengan isterinya yang telah diceraikan itu dengan diakadnikahkan semula. Ia boleh berlaku setelah habis tempoh iddah bagi talaq satu dan talaq dua. Dalam talaq bain kubra, yang terjadi setelah suami melafazkan talaq ketiga, isteri itu tidak boleh dikahwini semula oleh suami itu, kecuali jika isteri itu berkahwin dengan suami yang lain, persetubuhan sebenarnya telah berlaku, dan perkahwinannya dengan suami yang itu kemudiannya dibubarkan, atau suami keduanya itu telah meninggal dunia.[17]

1.3  Prosedur perceraian melalui Seksyen 47
Di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 47 mengadakan peruntukkan bagi seseorang suami atau isteri menyerahkan permohonan untuk perceraian dengan talaq atau dengan perintah daripada Mahkamah. Jika pihak yang satu lagi itu setuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu telah ‘pecahbelah dengan tak dapat dipulihkan’, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah’ (subseksyen 3)), dan hendaklah merekodkan hal satu talaq itu dan menghantar satu salinan rekod yang diperakui kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan (subseksyen 4)). Jika pihak satu lagi itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika mahkamah berpendapat mungkin terdapat sebuah perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada ‘seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi pihak isteri’ (subseksyen 5)). Seksyen 48 mengadakan peruntukkan bagi timbangtara oleh Hakam jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (syiqaq) selalu berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan. Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian, maka Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian (subseksyen 6)). 

Dapat dilihat sini, berdasarkan kepada peruntukkan seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya seseorang ingin memfailkan perceraian, mereka hendaklah menggunakan seksyen 47 dan dengan kebenaran Mahkamah sebelum melafazkan talaq tersebut. Sekiranya salah satu pihak tidak setuju dengan perceraian itu, maka Mahkamah hendaklah membentuk satu ahli jawatankuasa pendamai sekiranya terdapat unsur-unsur perdamaian dalam hubungan tersebut. 

Berkenaan dengan penalti bagi melafazkan talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, seksyen 124 memperuntukkan bahawa seseorang lelaki yang menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu. Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada peruntukkan undang-undang di Malaysia, si suami yang hendak melafazkan perceraian, hendaklah memfailkan tuntutan perceraian seksyen 47 di tempat mereka bermastautin. Sekiranya mereka melafazkan talaq di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah, mereka telah melakukan satu kesalahan dan akan dihukum denda dengan tidak melebihi satu ribu ringgit dan/atau penjara tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

1.4  Kes-kes yang berkaitan

Di dalam kes perceraian di Malaysia melalui seksyen 47 yang difailkan, terdapat beberapa isu, di mana pihak suami telah melafazkan perceraian di luar Mahkamah, dan apabila mereka ingin memfailkan perceraian, mereka tidak perlu memfailkan tuntutan perceraian di bawah seksyen 47, tetapi di bawah kes tuntutan pengesahan perceraian, bagi memastikan sama ada tersabit atau tidak lafaz yang dibuat oleh pihak suami di luar Mahkamah.

Sebagai contoh, Penulis merujuk kes Re Mohd Hussin Bin Abdul Ghani dan Hazimah[18] ; pihak suami dalam kes ini merupakan pengikut mazhab Hanafi dan pada masa talaq itu dilafazkan isteri itu hamil. Mahkamah Rendah Syariah memutuskan bahawa telah sabit perceraian dengan tiga talaq. Kedua-dua pihak suami dan isteri telah merayu kerana mereka ingin hidup bersama atau berkahwin semula, dan ini hanya boleh dilakukan jika diputuskan bahawa lafaz tiga talaq oleh suami itu hanya dikira sebagai cerai satu talaq. Mengikut pandangan Mohammed al-Shaybani dan Zafer, talaq yang dilafazkan terhadap perempuan yang hamil memberinya satu talaq sahaja. Lembaga Rayuan Syariah Kuala Lumpur memutuskan bahawa memandang kepada pendapat jumhur mazhab Hanafi dan amalan di beberapa negara yang mengikut mazhab Hanafi, lafaz tiga talaq sekaligus di masa yang sama dalam kes itu menjatuhkan satu talaq sahaja, lebih-lebih lagi apabila isteri itu hamil pada masa lafaz itu.

Selain itu, merujuk kepada kes yang lain, iaitu Zainab Binti Mahmood lwn Abd Latif bin Jusoh[19], lafaz talaq oleh suami telah dipertikaikan oleh pihak isteri. Mahkamah Rendah Syariah telah memutuskan jatuh talaq satu dan meluluskan permohonan suami untuk mendaftarkan perceraian itu. Jawatankuasa Rayuan Syariah di Selangor telah membenarkan rayuan pihak isteri dan memutuskan bahawa walaupun talaq itu hak suami, tetapi ianya tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya atau mengikut suka hati, sebaliknya hak talaq itu hendaklah digunakan dalam keadaan perlu sahaja dan dilakukan dengan penuh berhati-hati dan teliti. Terdapat kecacatan dan kerumitan dari segi fakta dan juga undang-undang dalam kes ini. Pihak suami mengatakan dia telah melafazkan talaq pada 10 Julai 1988, akan tetapi dalam permohonannya untuk berpoligami, dalam catitannya pada 13 September 1988, dia mengakui bahawa pihak isteri masih lagi isterinya dan isterinya itu bersetuju dengan permohonan berpoligami itum dan dia telah juga memberi nafkah isteri kepadanya hingga Disember 1989. Pihak isteri itu tidak bersetuju terhadap perceraian, oleh itu seharusnya jawatankuasa pendamai hendaklah dilantik di bawah seksyen 47 (5) supaya perceraian boleh berjalan dengan cara ma’ruf mengikut Hukum Syara’.

Dalam satu kes di Kuala Lumpur, iaitu Jasni lwn. Rahmah[20], pihak suami telah melafazkan talaq dengan mengatakan “dua talaq”. Sebelum itu, dia pernah menceraikan isterinya dengan satu talaq dan mereka telah ruju’ kembali. Hakim yang arif di Mahkamah Syariah telah memutuskan bahawa dengan perceraian kedua itu, tiga talaq telah jatuh, iaitu dua talaq telah ditambah kepada satu talaq yang dahulu itu, dan mereka tidak boleh ruju’ atau berkahwin semula. Pihak suami telah membuat rayuan. Oleh kerana terdapat keraguan tentang apa yang dimaksudkan oleh pihak suami semasa melafazkan kata-kata “dua talaq” itu. Lembaga Rayuan Syariah telah memintanya supaya mengangkat sumpah syarie untuk menjelaskan maksudnya. Pihak suami menjelaskan bahawa dia bermaksud yang dia menceraikan isterinya bagi kali kedua, dan dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Lembaga Rayuan Syariah telah menerima sumpah itu dan membenarkan rayuan, dan memerintahkan supaya perceraian itu didaftarkan sebagai talaq kedua.

1.5  Kesimpulan
Dirumuskan di sini bahawa, daripada nas-nas dalam al-Quran, dan Hadith, serta juga peruntukkan perundangan dan kes-kes yang disebut di atas, dapat difahami di sini bahawa perceraian walaupun dibenarkan dalam Islam, bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, tetapi sepatutnya hanya dilakukan dalam keadaan yang perlu sahaja apabila tiada lagi kemungkinan untuk pendamaian di antara suami isteri. Pihak suami juga tidak harus dengan sewenang-wenangnya melafazkan bilangan talaq tanpa memikirkan kesan setelah melafazkannya.


[1] Dr.Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Keluarga Islam Aturan Perkahwinan (1993), hlm. 129.
[2] Riwayat Ibn Majah, 1:650; Abu Daud, 6:227, dan al-Baihaqi, 7:322.        
[3] Seksyen 47, 49, 50 dan 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
[4] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 62.
[5] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:229
[6] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:231
[7] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:232
[8] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:228
[9] Al-Quran, Al-Baqarah, 2:230
[10] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 64
[11] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3491
[12] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3492
[13] Sahih Muslim, Kitab al-Talaq, Hadith 3493
[14] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 65
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] (1990) 7 JH 189
[19] (1991) 8 JH 297
[20] (1991) 9 JH 213

PEMBUBARAN PERKAHWINAN OLEH MAHKAMAH (FASAKH)



BAB 2: PEMBUBARAN PERKAHWINAN OLEH MAHKAMAH (FASAKH)

2.1 Definisi Fasakh

Fasakh boleh ditakrifkan sebagai pembubaran atau pembatalan perkahwinan oleh perintaha kehakiman.[1] Perceraian melalui tindakan Mahkamah juga dikenali sebagai tafriq dalam bahasa Arab.[2]
Terdapat perbezaan pendapat di antara mazhab-mazhab tentang kuasa mahkamah untuk memerintahkan pembubaran perkahwinan. Misalnya, pandangan jumhur Hanafi berpendapat bahawa pembubaran perkahwinan adalah sepenuhnya hak suami, dan mahkamah hanya mempunyai hak untuk bertindak sekiranya terdapat kecacatan serius pada pihak suami yang membuatnya mati pucuk.[3] Pandangan jumhur Shafii pula fasakh dibenarkan atas alasan kecacatan pihak suami seperti mati pucuk, tak siuman, berpenyakit kusta, atau elephantiasis, dan atas alasan pihak suami menjadi papa sehingga tidak mampu memberi nafkah minimum yang ditetapkan, tetapi pembubaran perkahwinan tidak boleh diarahkan jika suami itu berkemampuan, walaupun tiada berita mengenainya dan tiada nafkah boleh diperolehi daripada hartanya.[4] Fasakh dibenarkan atas alasan kecacatan pihak isteri, tetapi oleh kerana suami mempunyai hak untuk talaq, maka permohonan untuk fasakh oleh pihak suami jarang dibuat.
Pengikut Mazhab Maliki dan Hanbali telah membuat tafsiran yang lebih luas mengenai kuasa mahkamah untuk memerintahkan pembubaran perkahwinan. Mereka telah berpendapat bahawa pihak isteri boleh meminta hakim untuk memerintahkan perceraian jika dia mendakwa bahawa suaminya telah melakukan kemudharatan terhadapnya yang menjadikannya mustahil untuk meneruskan kehidupan perkahwinan mereka, misalnya dengan memukul, menghina atau memaksanya melakukan perkara tidak senonoh, dan tafsiran liberal ini telah pada amnya diterimapakai dalam kebanyakan perundangan moden Timur Tengah, misalnya di Mesir, Syria, Tunisia, Morocco, Iraq, Jordan, Algeria, dan Kuwait.[5]

2.2 Perbezaan di antara Talaq dan Fasakh
Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang boleh diruju’semasa bekas isteri menjalani iddah), maka hubungan perkahwinan di antara mereka berdua belum lagi terputus kecuali apabila talaq tersebut bertukar menjadi talaq bain, iaitu sesudah habis iddahnya atau sejak awal-awal lagi dia diceraikan dengan talaq tiga.[6]
 Perceraian dengan sebab fasakh menyebabkan hubungan perkahwinan mereka terputus. Mereka tidak akan dapat kembali semula sebagai pasangan suami isteri kecuali dengan akad perkahwinan yang baru sekalipun bekas isteri masih di dalam iddahnya. Kedudukannya adalah sama seperti di dalam talaq bain. [7]
Perbezaan kedua dari sudut bilangan talaq, si suami yang menceraikan isterinya menerusi talaq biasa begitu juga menerusi cara khulu’ akan berkurangan bilangan talaq yang dimilikinya, tetapi jika perceraian itu berlaku menerusi fasakh, maka bilangan talaq tidak akan berkurangan sekalipun dia merujuk kepadanya sesudah itu dengan akad perkahwinan yang baru.[8]

2.3 Isu-isu fasakh melalui rujukan kes-kes yang berkaitan
Di dalam topik ini, Penulis ingin merujuk seksyen 52 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 telah menerima pakai tafsiran liberal mazhab Maliki dan menyatakan dua belas alasan yang membolehkan seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh, termasuklah alasan bahawa tempay di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun, bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tiga bulan, bahawa suami telah dihukum, penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih, bahawa suami telah tidak menunaikan nafkah batin, bahawa suami telah gila atau sedang menghidap penyakit kusta atau penyakit vitilago atau penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit, bahawa suami menganiayanya, bahawa suami sengaja enggan menyetubuhinya, bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, dan suatu alasan am iaitu apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.[9]


2.3.1 Suami tidak mampu memberi nafkah
Berdasarkan isu ini, Penulis ingin merujuk kes di Kedah, Sakdiah lwn. Ahmad[10], pihak isteri telah menuntut sara nafkah daripada pihak suami. Mahkamah Kadi telah menolak tuntutan isteri kerana suami dan isteri itu telah bersama-sama membuat kerja bendang dan berkongsi hasil padi itu, Pihak isteri telah membuat rayuan, dan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa nafkah wajib dibayar oleh pihak suami tetapi oleh kerana suami itu telah jatuh papa, pihak isteri boleh memilih sama ada untuk bersabar sehingga suaminya mendapat kerja yang boleh memberi hasil untuk membayar sara nafkah, atau isteri itu boleh menuntut fasakh.
Di dalam satu kes yang lain pula di Kedah, iaitu kes Abdul Aziz lwn Che Pah[11], pihak isteri menuntut fasakh kerana suaminya papa. Saksi-saksi pihak isteri telah memberi keterangan bahawa pihak suami tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Hal ini dinafikan oleh saksi-saksi pihak suami. Mahkamah mendapati tiada saksi yang tepat menunjukkan yang suami itu tidak papa dan meminta pihak isteri bersumpah yaminul istikzar. Mahkamah selepas itu memerintahkan tempoh muhlah selama tiga hari. Selepas tempoh muhlah itu, pihak isteri dan saksi-saksinya memberi keterangan bahawa pihak suami tidak pernah memberi nafkah dalam tempoh tersebut. Mahkamah dengan itu memutuskan bahawa suami itu seorang yang papa dan membenarkan tuntutan fasakh isteri itu. Rayuan pihak suami kepada Mahkamah Rayuan Syariah telah ditolak dengan sebulat suara.

Dapat difahami di sini, berdasarkan dua kes yang Penulis nyatakan di atas, bahawa pihak isteri hendaklah mengemukakan keterangannya di hadapan Mahkamah, beserta dengan keterangan-keterangan daripada saksi untuk mengukuhkan dakwaannya. Di dalam kes di Malaysia ini, seringkali kita dengari bahawa pihak isteri ingin memfailkan perceraian secara fasakh kerana suami tidak memberi nafkah disebabkan keadaan mereka yang papa. Oleh yang demikian, Mahkamah boleh menerima dakwaan mereka setelah Mahkamah berpuas hati dengan membuat siasatan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum mensabitkan pembubaran perkahwinan antara suami isteri tersebut. 

2.3.2 Suami tidak diketahui berada di mana
Bagi mengupas isu ini, Penulis ingin merujuk kes-kes yang berkaitan, seperti kes Atikah lwn. Razali[12] di Kelantan, iaitu sebelum berkuatkuasanya Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983. Pihak-pihak yang berkenaan berasal dari Kemboja dan telah berkahwin di Phnom Penh pada tahun 1965. Pihak suami telah ditawan oleh Komunis dalam tahun 1972 dan pihak isteri telah melarikan diri ke Siam dan kemudiannya ke Malaysia dalam tahun 1975. Semenjak pihak suami ditawan oleh Komunis, suami itu tidak dapat dikesan, dan harta kepunyaannya juga tidak ada. Keterangan pihak isteri telah disokong oleh dua orang saksi lelaki. Mahkamah mendapati bahawa suami itu termasuk dalam golongan mu’sir dan meminta pihak isteri bersumpah istizhar. Setelah isteri itu bersumpah, mahkamah membenarkan tuntutan fasakh itu.
Dalam satu kes di Kelantan selepas berkuatkuasanya Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983, di dalam kes Rafiah lwn. Hassan[13], pihak-pihak yang berkenaan telah berkahwin pada 1hb Julai 1981. Pada 10hb Mac 1987, pihak suami seperti biasa turun dari rumah menjalankan urusan perniagaannya tetapi semenjak itu tidak balik-balik lagi. Pihak suami tidak pernah meninggalkan nafkah kepada pihak isteri dan tidak ada meninggalkan harta untuk nafkah. Pada 19hb Ogos 1987, pihak isteri telah membuat tuntutan fasakh di bawah seksyen 38 (f) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983. Setelah mendengar saksi-saksi, mahkamah menerima tuntutan pihak isteri disebabkan pihak suami ghaib dan membenarkan perceraian fasakh di bawah fasal am dalam seksyen 38 (f) Enakmen tersebut.

Penulis merujuk juga kes di Kuala Lumpur, Habsah lwn. Ahmad[14], pihak-pihak yang berkeaan telah berkahwin pada tahun 1979. Pihak suami telah membawa isteri itu ke Singapura di mana, menurut isteri, suaminya telah cuba memaksanya menjadi pelacur. Pihak isteri telah kembali kepada keluarganya pada tahun 1980. Suaminya tidak pernah mengirim nafkag kepadanya. Saman tidak dapat disampaikan kepada pihak suami dan mahkamah memerintahkan supaya nama pihak suami diiklankan di akhbar tempatan. Selepas iklan itu disiarkan, mahkamah berpuas hati bahawa suami itu ghaib dan telah tidak meninggalkan harta dalam lingkungan 60 batu untuk menjadi nafkah isteri. Setelah pihak isteri mengangkat sumpah istizhar dan atas keterangan dua orang saksi, mahkamah membenarkan tuntutan fasakh itu.

Merujuk kepada ketiga-tiga kes seperti yang dinyatakan di atas, dapat difahami di sini bahawa sekiranya pihak isteri tidak tahu di manakah keberadaan suami mereka dalam tempoh lebih daripada 1 tahun, maka pihak isteri boleh memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah. Ini selaras dengan peruntukkan-peruntukkan seksyen yang sedia ada seperti seksyen 52 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dalam pembubaran perkahwinan pihak-pihak.

2.3.3 Suami tidak hadir di Mahkamah
Kerapkali apabila pihak isteri ingin memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah, kebiasaannya pihak suami enggan memberikan kerjasama yang baik kerana mereka tidak bersetuju untuk menceraikan isteri mereka.
Sebagai contoh bagi kes ketidakhadiran suami ke Mahkamah, Penulis telah merujuk kes di Melaka, iaitu Rosnani lwn. San Ahmed[15], pihak suami tidak hadir di Mahkamah walaupun saman telah diterima olehnya. Pihak suami telah mengabaikan pihak isteri dan anak-anak mereka selama hampir dua tahun, dan telah tidak memberikan nafkah kepada mereka semenjak suami itu berkahwin dengan perempuan lain. Keterangan isteri itu telah disokong oleh dua orang saksi. Mahkamah mensabitkan tuntutan fasakh oleh pihak isteri. Oleh kerana pihak-pihak berkenaan pernah bercerai sebelum ini dengan satu talaq, maka mahkamah menyatakan bahawa kes ini adalah merupakan talaq kali kedua.

Berdasarkan kes yang dinyatakan di atas, apabila saman telah berjaya diserahsampaikan kepada pihak suami, namun disebabkan segelintir yang tidak bertanggungjawab, telah membiarkan si isteri terkontang kanting di Mahkamah bersendirian, kerana mereka percaya bahawa kuasa talaq berada di tangan mereka. Perbuatan mereka secara tidak langsung ini telah mendatangkan kemudharatan dan penganiayaan kepada pihak isteri secara emosi dan mental berhadapan dengan isu seperti ini. Oleh yang demikian, fasakh merupakan jalan yang terbaik sekiranya tidak wujud jalan perdamaian antara pihak-pihak.

2.3.4 Fasakh kerana suami menganiaya isteri
Dalam satu kes di Selangor, Hairun lwn. Omar[16], Hakim yang arif telah menolak tuntutan pihak isteri untuk fasakh atas alasan pihak suami telah menganiayainya menurut seksyen 52 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984. Walaupun hakim yang arif berpendapat bahawa pihak suami telah melanggar hukum syara’ dengan memukul dan mencederakan isterinya, permohonan pihak isteri itu ditolak kerana hakim yang arif mentafssirkan perkataan “lazim menyakiti” dalam subperenggan (i) seksyen itu sebagai beerti “kerap, acap kali, berkali-kali, sering kali” dan memutuskan bahawa tindakan suami itu memukul isterinya sebanyak dua kali belum lagi diertikan “lazim menyakiti”. Rayuan pihak isteri telah dibenarkan oleh Jawatankuasa Rayuan Syariah yang memutuskan bahawa hakim yang arif telah tersilap mentafsirkan seksyen 52 (1) (h). Jawatankuasa Rayuan telah menjelaskan bahawa perkara pokok di bawah seksyen 2 (1) (h) iaitu penganiayaan dan subperenggan (i) hingga (iv) hanyalah contoh-contoh “antara lain” mengenai penganiayaan. Penganiayaan boleh berlaku di dalam dua bentuk, iaitu dalam bentuk fizikal atau dalam bentuk mental, dan “lazim menyakiti” tidak bermakna memukul dengan cara fizikal kerana terdapat perbezaan di antara “assault” (menyakiti), dan “battery” bermakna memukul dengan cara fizikal tetapi perkataan “assault” tidak begitu. Perkataan ‘lazim’ hanya relevan di dalam kes penganiayaan berbentuk mental seperti menyakiti hati dan perasaan isteri. Ia tidak berbangkit dalam kes penganiayaan fizikal kerana memukul walaupun tidak lazim, mungkin mencukupi untuk membuktikan penganiayaan terhadap isteri.
Dengan merujuk kes di atas, dapat disimpulkan di sini bahawa sekiranya wujud penganiayaan terhadap isteri, seperti memukul (tidak kerap), maka pihak isteri tetap boleh memfailkan tuntutan fasakh. Ini kerana tindakan yang dilakukan oleh pihak suami akan memberikan kesan dalam bentuk mental kepada pihak isteri berpanjangan. 

2.4 Kesimpulan
Rumusan daripada bab ini, Penulis dapat simpulkan bahawa tuntutan Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan dengan kebenaran Mahkamah. Terdapat beberapa isu yang sering menjadi pertikaian sekiranya pihak isteri ingin memfailkan tuntutan ini, antaranya adalah, ketidakhadiran suami walaupun saman telah berjaya diserahkan, suami tidak memberi nafkah zahir dan/atau batin, suami telah ghaib melebihi tempoh satu tahun dan suami telah menganiaya isteri. Selain dari sebab ini, dan sekiranya wujud sebab-sebab lain yang difikirkan sesuai yang boleh diiktiraf oleh Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan pihak-pihak yang mungkin boleh memberikan kemudharatan terhadap isteri dan anak-anak, maka pihak Mahkamah hendaklah mempertimbangkan alasan tersebut dan boleh untuk mensabitkan fasakh tersebut. Ketidakhadiran pihak suami ke Mahkamah kerana sebahagian mereka beranggapan kuasa talaq berada di tangan mereka, dan kelakuan mereka ini secara terus menerus telah mendera pihak isteri secara mental dan mendatangkan penganiayaan terhadap isteri. Dengan adanya pembubaran perkahwinan, iaitu Fasakh, maka pihak isteri juga diberikan hak yang sewajarnya untuk melepaskan diri daripada seseorang yang tidak bertanggungjawab dengan memfailkan tuntutan fasakh ini di Mahkamah Syariah di tempat pihak isteri bermastautin.


[1] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 97
[2] Ibid
[3] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 98-99
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Dr.Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Keluarga Islam Aturan Perkahwinan (1993), hlm. 186-187
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Nik Noriani Nik Badli Shah, Perkahwinan Dan Perceraian di Bawah Undang-Undang Islam, (2012), Cetakan International Law Book Services, hlm. 99-100
[10] (1968) 2 JH 101
[11] (1972) 2 JH 113
[12] (1978) 6 JH 108
[13] (1987) 6 JH 112
[14] (1985) 6 JH 320
[15] (1989) 7 JH 102
[16] (1990) 8 JH 289