Salam semua. Sebelum saya membahaskan isu ini, marilah kita sama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, semoga Nabi Muhammad S.A.W memberi syafaat kepada kita semua pada hari Akhirat kelak. Amiinn..
Post saya pada harini adalah kerana saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan semua orang, isu2 yang kebanyakannya dibincangkan dalam kalangan masyarakat kita mahupun di Mahkamah Syariah. Saya berharap post ini sedikit sebanyak boleh membantu sebahagian orang yang mempunyai masalah dan/atau mempunyai cara penyelesaiannya setelah membaca post ini.
Di dalam post ini, saya akan mengutarakan beberapa isu, iaitu:
1) Apakah perbezaan di antara lafaz sorih dan lafaz kinayah
2) Sekiranya si isteri ada hubungan intim dengan lelaki lain, kemudian, melahirkan anak perempuan, seterusnya berhasrat ingin ber “binti” kan dengan suami sedangkan anak tersebut adalah anak orang lain. Apakah kesannya dan apa yang boleh dibuat oleh si suami sekiranya kejadian tersebut berlaku?
3) Apakah hak yang boleh dituntut oleh si isteri selepas perceraian?
ISU PERTAMA : APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA LAFAZ SORIH DAN LAFAZ KINAYAH
1) LAFAZ SORIH : jelas atau nyata iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang boleh difahami dan nyata.
Contoh lafaz : Aku ceraikan kau dengan talak satu.
2) TALAK KINAYAH : lafaz yang diucapkan oleh suami yang membawa makna kepada perceraian atau pengertian yang lain.
Contoh lafaz : Kita berdua sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.
: Kalau kau ikut dia juga, jatuh talak
: Aku ceraikan dia
Sekiranya pihak Puan meragui jenis lafaz yang diucapkan oleh suami, pihak-pihak sama ada suami atau isteri boleh memfailkan pengesahan lafaz di Mahkamah Syariah tempat pasangan bermastautin menurut seksten 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pendaftaran perceraian di luar Mahkamah)
Hanya pihak Mahkamah Syariah berhak untuk menentukan kesahihan lafaz perceraian tersebut.
ISU KEDUA : SEKIRANYA SI ISTERI ADA HUBUNGAN INTIM DENGAN LELAKI LAIN, KEMUDIAN TELAH MELAHIRKAN ANAK PEREMPUAN, SETERUSNYA BERHASRAT INGIN BER “BINTI” KAN ANAK TERSEBUT DENGAN NAMA SUAMI SEDANGKAN ANAK TERSEBUT ADALAH ANAK ORANG LAIN, APAKAH KESANNYA DAN APA YANG BOLEH DIBUAT OLEH SI SUAMI SEKIRANYA KEJADIAN TERSEBUT BERLAKU?
Saya lihat banyak isu seperti ini dibangkitkan di kebanyakan kes di Mahkamah Syariah. Masyarakat kita juga sewenang-wenangnya bertindak sesuka hati tanpa meletakkan agama di hadapan serta tidak memikirkan kesan apakah yang akan terjadi di kemudian hari. Berikut saya senaraikan kesan sekiranya anak tersebut berbinti kan kepada suami sedangkan anak tersebut adalah anak kepada lelaki lain;
1) Dosa Besar bagi si isteri kerana sekiranya dibiarkan hal tersebut berlarutan, kemungkinan dosa Puan akan berlanjutan sehingga ke tujuh keturunan.
2) Aurat anak tersebut dengan suami Puan.
3) Anak tersebut tidak berhak mendapat harta pusaka.
4) Anak tersebut tidak berhak mendapat nafkah memandangkan anak tersebut adalah anak kepada lelaki lain.
5) Dalam bab perkahwinan, sekiranya suami Puan sebagai wali pernikahan tersebut, adalah tidak sah pernikahan tersebut kerana bukan bapa kandung yang sah dan/atau bukan senasab.
6) Anak tersebut MESTI nikah menggunakan WALI HAKIM
7) Sekiranya di bawakan hal ini dihadapan mahkamah, pernikahan di antara anak puan dan suaminya hendaklah difaraqkan (dipisahkan) serta persetubuhan yang dilakukan adalah dikira sebagai wat’ie syubhah.
8) Akan timbul isu ketidaksahtarafan anak yang dilahirkan di kemudian hari.
- Namun, sekiranya si suami meragui meragui anak yang dikandung oleh si isteri, si suami boleh memfailkan di Mahkamah Syariah, dengan tuntutan Li’an.
- Li’an adalah si suami menuduh isteri melakukan zina dengan lelaki lain, dan menafikan anak yang dikandung oleh si isteri.
- Semasa di dalam perbicaraan, Encik dikehendaki mendatangkan bukti-bukti serta saksi bagi mengukuhkan dakwaan Encik.
- Sekiranya tidak mendatangkan bukti dan saksi, Encik dikehendaki membuat sumpah li’an sebanyak 4 kali dengan nama Allah. Manakala sumpah kali kelima hendaklah dibuat sumpah laknat terhadap diri sendiri sekiranya berdusta. Berdasarkan ayat al-quran:
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, Maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa la’nat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Istrinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah Sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.” (QS An-Nuur: 6-9).
KESAN LI’AN :
1) Kedua-duanya hendaklah diceraikan
2) Haram rujuk kembali selama-lamanya
3) Anak tersebut diserahkan kepada ibu
4) Anak tersebut mendapat Hak waris daripada belah ibu sahaja.
ISU KETIGA : APAKAH HAK YANG BOLEH DITUNTUT OLEH SI ISTERI SELEPAS PERCERAIAN
Tidak dinafikan, terdapat segelintir daripada kaum wanita yang teraniya disebabkan perbuatan si suami yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan amanah, dengan tidak memberikan nafkah dan sebagainya. Terdapat juga sebahagian kes di mana setelah perintah daripada Mahkamah dikuatkuasakan, didapati si bekas suami tetap tidak membayar nafkah2 tersebut, Puan boleh juga memfailkan Komital untuk di tangkap serta dipenjarakan terhadap bekas suami. Namun, utk kes seperti ini, saya cadangkan Puan perlu melantik Peguam Syarie bagi memudahkan perjalanan kes Puan. Berikut saya senaraikan hak2 yang boleh dituntut oleh isteri;
1) Hak hadhanah (hak jagaan anak)
2) Hak interim hadhanah (hak jagaan sementara anak)
3) Nafkah isteri
4) Nafkah isteri tertunggak
5) Nafkah anak
6) Nafkah anak tertunggak
7) Muta’ah.
8) Nafkah Iddah
9) Harta sepencarian
Tapi sekiranya Puan disabitkan Nusyuz oleh Mahkamah, Puan tidak berhak menuntut Nafkah Iddah dan Nafkah Isteri. Kemungkinan tuntutan Muta’ah juga akan tergugur dan/atau memberi kesan bergantung kepada fakta kes, saksi, hujah dan keputusan daripada Hakim. Tetapi walaupun Puan Nusyuz, tidak akan effect pada nafkah anak. Ini kerana bekas si suami tetap kena bayar nafkah anak tersebut.
Diharapkan post ini sedikit sebanyak membantu segenlintir masyarakat dalam kalangan kita memahami apa yang hendak dan/atau perlu buat bagi masalah yang mereka hadapi. Saya juga berharap agar kita jangan lupa meletakkan agama Allah dihadapan sebelum membuat keputusan yang terburu2 yang boleh memberi kesan negative di kemudian hari. Jangan jadikan 'tidak tahu' sebagai alasan serta terus membiarkan diri hidup dalam kejahilan.
WaAllahu’alam.
Sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan saya melalui e-emel seperti yang tertera di bawah.
Sekian, terima kasih.
---------------------------------------------------------------------------
*With Regards*
Ida Misman
*Perunding Syariah
*idademiniz@gmail.com
No comments:
Post a Comment