Sunday, October 23, 2016

PERCERAIAN SEKSYEN 47 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

PEGUAMSYARIAH
IDADEMINIZ
23 October 2016


PERCERAIAN S47

Di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, telah memperuntukkan bahawa;-

“seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan surat akuan berkanun …..”  

Merujuk kepada seksyen di atas, sekiranya seseorang ingin memfailkan perceraian, mereka hendaklah mendapatkan borang saman perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di tempat pihak-pihak mastautin. Kemudian, borang saman tersebut akan disertakan sekali surat akuan, di mana surat akuan tersebut hendaklah diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.

Butiran yang diperlukan di dalam Surat akuan tersebut adalah seperti berikut;
a) butir-butir perkahwinan; nama, umur, dan nama anak- anak sekiranya mempunyai anak; 
b) nyatakan sebelum ini pernah bercerai atau tidak dan sekiranya pernah bercerai, sila nyatakan di mana prosiding tersebut berlangsung;
c) nyatakan sebab-sebab hendak bercerai;
d) nyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mencapai perdamaian dalam perkahwinan; contoh, pergi kaunseling sebanyak 3 kali etc;
e) boleh kemukakan syarat-syarat perceraian; sebagai contoh, nafkah anak,harta sepencarian, dan sebagainya;
f) butir-butir mengenai perintah yang diminta.

Contoh surat akuan;

Bahawa saya SITI BINTI AHMAD (No.K/P.: XXXXXX) seorang warganegara Malaysia yang cukup umur dan beralamat di xxxxxxxxxxxxxxxxxx dengan sesungguhnya dan sebenarnya mengaku bahawa;-
  1. Bahawa saya Plaintif di dalam kes ini dan menyatakan bahawa segala maklumat yang saya berikan adalah benar setakat dalam pengetahuan saya dan dokumen yang saya mempunyai akses ke atasnya.
  2. Defendan, MOHD BIN AHMAD (No.K/p.:xxxxxxxx) yang beralamat penyampaian di xxxxxxxxxxxxxxx adalah suami yang sah kepada saya. 
  3. Kami telah berkahwin pada 23.3.2000 berwalikan bapa kandung saya iaitu ………. di ……………….. dengan bilangan daftar nikah …….
  4. Sebelum ini, saya tidak pernah / pernah berkahwin lain. Hasil perkahwinan tersebut, kami telah dikurniakan satu (1) orang cahayamata; iaitu;
i) Iman Binti Mohd (No.S/k.:xxxxxxxxxxxx)

4) Saya memohon Mahkamah Yang Mulia ini meluluskan  permohonan dan/atau tuntutan perceraian saya selari dengan peruntukkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atas alasan-alasan berikut;-
i) Defendan kerap kali mengugut saya dengan menggunakan kata-kata yang nista dan kesat;
ii) Defendan culas dan/atau gagal dalam memberikan nafkah kepada saya
iii) sentiasa berlaku persefahaman dan wujud syiqaq  (perbalahan) antara saya dan Defendan

5) Berdasarkan alasan-alasan yang saya nyatakan di atas, saya  dengan penuh tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini meluluskan tuntutan perceraian ini di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

6) Dan saya membuat akuan ini dengan penuh kepercayaan bahawa kesemuanya adalah benar dan betul belaka menurut Undang-undang Surat Akuan 1960.

Diperbuat dan dengan sebenar-benarnya )
Oleh nama yang tersebut di atas iaitu )
SITI BINTI AHMAD )
NO.K/P.: )
Di )
Pada hb 2016)


………………
              (Tandatangan Yang Di                                                Pertua Mahkamah Tengah,
              PesuruhJaya Sumpah                                                (Islam))

Setelah membuat ikrar di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, pihak Plaintif hendaklah mengepilkan sekali kad Pengenalan Plaintif, Surat Perakuan Nikah, Sijil Kelahiran anak-anak, dan dokumen-dokumen lain sekiranya berkaitan. 

AMBIL PERHATIAN bahawa pihak Plaintif hendaklah mengemukakan Empat (4) salinan bagi keseluruhan dokumen-dokumen tersebut. Sebagai contoh, surat perakuan seperti yang saya nyatakan di atas, hendaklah dibuat salinan sebanyak 4 salinan dan diselitkan sekali dokumen-dokumen seperti kad pengenalan surat perakuan nikah dan sijil kelahiran anak-anak. 
SETELAH lengkap, pihak Plaintif bolehlah memfailkan Saman dan Surat Akuan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di tempat Plaintif dan/atau Defendan mastautin.
ISU
  1. Penyerahan Saman secara Kediri kepada Defendan; 
  2. Sekiranya Defendan tidak mahu menerima Saman tersebut; 
  3. Sekiranya Defendan bersetuju untuk bercerai;
  4. Sekiranya Defendan tidak bersetuju untuk bercerai;
  5. Sekiranya isteri tidak bersetuju untuk bercerai.

PENYERAHAN SAMAN SECARA KEDIRI KEPADA DEFENDAN 

Setelah memfailkan Saman dan Surat Akuan bagi tuntutan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, pihak Plaintif akan diberi pilihan oleh pihak Mahkamah samada ingin menyerahkan saman tersebut secara kediri atau ingin meminta pihak Mahkamah menyerahkan sendiri Saman dan Surat Akuan tersebut kepada Defendan.

Sekiranya pihak Plaintif ingin menyerahkan secara kediri kepada Defendan, pihak Plaintif hendaklah menyerahkan saman tersebut kepada Defendan tidak kurang dari 7 hari tarikh sebutan perceraian tersebut. 
Sebagai contoh, 

A datang ke Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, dan memfailkan Saman dan Surat Akuan tuntutan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. A diberi tarikh sebutan kali pertama oleh Mahkamah pada 21hb Julai 2016. Mengikut Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah, serahan saman hendaklah diserahkan tidak kurang dari 7 hari dari tarikh sebutan kali pertama. Ini bermakna A harus menyerahkan Saman tersebut pada sebelum 14hb Julai 2016. Saman tersebut mestilah diterima oleh Defendan sendiri dan Defendan hendaklah menandatangani surat akuan penerimaan Saman tersebut. 

SEKIRANYA DEFENDAN TIDAK MAHU MENERIMA SAMAN / TIDAK MAHU MENANDATANGANI SURAT AKUAN PENERIMAAN SAMAN
Apakah yang akan terjadi sekiranya Defendan tidak mahu menerima Saman tersebut? Anda hendaklah maklumkan pada mahkamah bahawa Saman gagal diserahkan secara kediri kepada Defendan. Pihak Mahkamah akan meminta Plaintif mengisi Afidavit Tanpa Serahan kepada Mahkamah. Afidavit Tanpa Serahan dilakukan bila berlaku keadaan seperti berikut;-
a) Defendan ada di alamat penyampaian (cth rumah) tersebut, tetapi enggan menerima, maka Saman tersebut hendaklah diletakkan berhampiran dengannya;
b) Defendan tiada di rumah, tetapi Saman tersebut diterima oleh ibu bapa, atau ahli kalangan keluarga Defendan;
Walau bagaimanapun, ketidakterimaan Defendan tidaklah menjejaskan keesahan penyampaian tersebut.

APAKAH YANG PATUT DILAKUKAN SEKIRANYA SEBUTAN KALI PERTAMA DAN TARIKH BERIKUTNYA DEFENDAN TIDAK HADIR?

(SAMAN BERJAYA DISERAHKAN, TETAPI DEFENDAN ENGGAN HADIR KE MAHKAMAH)
Terdapat pelbagai cara yang Plaintif boleh lakukan sekiranya Defendan tidak mahu hadir ke mahkamah walaupun Saman telah berjaya diserahkan kepada Defendan. Sekiranya Defendan tidak hadir pada Hari Pertama sebutan kes, Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah Yang Mulia, dengan izin Yang Arif untuk mengeluarkan Notis Amaran kepada Defendan pada sebutan tarikh akan datang sekiranya Defendan tidak hadir. 

Sekiranya tarikh Sebutan kali Kedua, Defendan masih tidak hadir walaupun Mahkamah telah mengeluarkan notis Amaran kepada Defendan, maka Plaintif boleh membuat permohonan Waran Tangkap bagi memastikan Defendan hadir ke Mahkamah untuk menjawab tuntutan yang dibuat oleh Plaintif pada sebutan kali Ketiga.
Kebiasaannya, sekiranya alamat penyampaian adalah betul, pihak Pegawai Penguatkuasa akan berjaya menangkap Defendan pada sebutan tarikh kali Ketiga. 

Isunya di sini, ialah, sama ada Defendan bersetuju untuk bercerai pada hari tersebut ataupun tidak?

DEFENDAN BERSETUJU UNTUK MENCERAIKAN PLAINTIF (ISTERI)
Sekiranya Defendan bersetuju dan bersedia untuk menceraikan Plaintif, Mahkamah akan mengambilkira beberapa perkara sebelum talaq dilafazkan oleh si suami, iaitu;-
a) tidak menjalinkan hubungan kelamin semasa dalam proses perceraian; (kerana dikhuatiri akan mengandung dan akan memanjangkan lagi proses perceraian tersebut)
b) tidak ada orang paksa Defendan untuk melafazkan cerai;
c) Defendan dalam keadaan yang waras serta sedar daripada lafaz tersebut
d) mendapatkan kepastian dan kesahan kedua-dua belah pihak sebelum lafaz dibuat;

SETELAH MAHKAMAH BERPUASHATI, maka Yang Arif akan membenarkan talak dilafazkan oleh suami dengan kebenaran Mahkamah. KES SELESAI.

DEFENDAN (SUAMI) TIDAK BERSETUJU UNTUK MENCERAIKAN PLAINTIF (ISTERI)

Sekiranya suami tidak bersetuju untuk menceraikan isteri, maka satu jawatankuasa pendamai akan ditubuhkan bagi mendamaikan pihak-pihak. Hal ini dinyatakan di dalam Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Jawatankuasa pendamai ini hendaklah terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai Pengerusi dan wakil dua orang, iaitu seorang daripada pihak suami dan seorang wakil daripada pihak isteri. Tempoh perdamaian diberikan adalah selama enam (6) bulan untuk mendamaikan pihak-pihak. Kebiasaannya, wakil yang dilantik oleh pihak-pihak adalah bapa, bapa saudara dan sebagainya.
Sekiranya wujud perdamaian (sulh) dalam tempoh perdamaian tersebut dijalankan, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perdamaian tersebut dan menolak tuntutan Perceraian yang dikemukakan oleh Plaintif.

SEKIRANYA jawatankuasa tidak dapat bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuas hati tentang cara ia menjalankan perdamaian itu, maka salah satu pihak boleh memecat jawatankuasa dan melantik jawatankuasa lain bagi menggantikannya.

WALAU BAGAIMANAPUN, sekiranya setelah enam (6) bulan, dan masih lagi berlaku syiqaq antara suami dan isteri, dan merujuk kepada pengesyoran yang dibuat oleh Pegawai Agama serta pertimbangan Mahkamah, maka Mahkamah boleh mengarahkan untuk membuat pelantikan Hakam (Penimbang tara).  (SILA LIHAT ARAHAN AMALAN MAHKAMAH SYARIAH NO. 10 TAHUN 2007)

SEKSYEN 48 - HAKAM
Pelantikan Hakam hendaklah diberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang lebih arif tentang keadaan kes ini. Hakam juga hendaklah mengetahui tugas-tugasnya dan perlu fikirkan wajar dan sesuai serta mengesyorkan kepada mahkamah sekiranya gagal mendamaikan hubungan pihak-pihak.
Seterusnya, sekiranya Defendan bersetuju untuk bercerai, maka dengan kebenaran Mahkamah, Defendan hendaklah melafazkan talak tersebut.

Sekiranya Defendan masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak mahu menceraikan Plaintif, maka dengan keizinan Mahkamah, Hakam kali Kedua akan dilantik, sekaligus kuasa talak si suami akan terpindah kepada Hakam Kedua tersebut.

Sekiranya Defendan masih enggan melafazkan talak, maka akan disyorkan oleh Hakam Kedua samada melafazkan perceraian ataupun Khulu’ (Tebus Talak). 

Pihak-pihak dikehendaki berbincang berapa jumlah tebusan atas persetujuan bersama, sebagai contoh RM100, RM200 dan sebagainya. Mahkamah akan merekodkan perceraian tersebut samada dengan dilafazkan oleh Hakam dan /atau secara tebus talak. 

SEKIRANYA ISTERI TIDAK BERSETUJU DENGAN TUNTUTAN PERCERAIAN


Sekiranya si suami memfailkan tuntutan perceraian di bawah seksyen ini, dan ISTERI TIDAK BERSETUJU dengan tuntutan tersebut, maka; proses perceraian tersebut adalah seperti berikut;-

a) Hadir pada sebutan kali pertama di Mahkamah;

b) menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan perceraian;
c) Hakim mengarahkan untuk ditubuhkan satu jawatankuasa pendamai; 
d) Pengerusi - Pegawai Agama,
Wakil Jawatankuasa Pendamai adalah 1 orang wakil pihak Plaintif dan 1 orang wakil daripada pihak Defendan, seperti plaintif melantik ayah;
e) Tempoh Jawatankuasa Pendamai adalah selama 6 bulan.
f) Sekiranya difikirkan perlu, Hakim atau Pegawai Agama boleh mengesyorkan sekali lagi untuk diadakan Jawatankuasa Pendamai, serta memecat wakil setiap pihak, dan melantik ahli Jawatankuasa Pendamai yang lain;
g) Setelah wakil jawatankuasa pendamai serta pegawai agama berusaha untuk mendamaikan pihak-pihak dan masih wujud syiqaq (perbalahan), maka kes perceraian tidak akan diteruskan kepada Hakam, (Hakam hanya akan diteruskan sekiranya pihak Plaintif ialah isteri dan si suami sebagai Defendan tidak bersetuju dengan perceraian tersebut)
h) Dengan kebenaran Mahkamah Yang Mulia, Plaintif (suami) akan / boleh melafazkan talak terhadap Defendan (isteri).

KESAN PERCERAIAN SEKSYEN 47 DAN KHULU’ (TEBUS TALAK) SEKSYEN 49

Kesan perceraian seksyen 47, akan gugur talak 1 dan boleh dirujuk semasa isteri dalam ‘iddah dan tidak memerlukan kepada aqad baru.

Berbeza dengan perceraian Khulu’ (Tebus Talak) seksyen 49, akan tertalak dengan Bain Sughra (Memerlukan kepada aqad baru sekiranya suami ingin merujuk kembali kepada isteri). 

Firman Allah S.W.T;
Mafhumnya : “Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi apa yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya” (Surah An-Nisa’ : 19)

Rasulullah Sollahu A’laihi Wassalam bersabda :
“Sesuatu yang halal tetapi paling dibenci Allah adalah perceraian”

Merujuk kepada fakta-fakta yang telah saya huraikan di atas, dapatlah difahami bahawa sesuatu perceraian amat dibenci oleh Tuhan tanpa sebab yang munasabah oleh Hukum Syarak. Islam adalah indah di mana, Islam masih memberikan ruang dan peluang kepada pihak-pihak dalam usaha untuk mencapai perdamaian di dalam sesebuah rumahtangga. Oleh sebab itu, perceraian mengambil masa yang lama, sebelum seseorang Hakim menjatuhkan perintah terhadap seseorang. 

Sekian, terima kasih.

Sebarang pertanyaan, bolehlah dikemukakan melalui e-mel saya; idademiniz@gmail.com

Wednesday, May 4, 2016

PENYELESAIAN ISU RUMAHTANGGA MELALUI UNDANG-UNDANG SYARIAH

Salam semua. Sebelum saya membahaskan isu ini, marilah kita sama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, semoga Nabi Muhammad S.A.W memberi syafaat kepada kita semua pada hari Akhirat kelak. Amiinn..
Post saya pada harini adalah kerana saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan semua orang, isu2 yang kebanyakannya dibincangkan dalam kalangan masyarakat kita mahupun di Mahkamah Syariah. Saya berharap post ini sedikit sebanyak boleh membantu sebahagian orang yang mempunyai masalah dan/atau mempunyai cara penyelesaiannya setelah membaca post ini.
Di dalam post ini, saya akan mengutarakan beberapa isu, iaitu:
1) Apakah perbezaan di antara lafaz sorih dan lafaz kinayah
2) Sekiranya si isteri ada hubungan intim dengan lelaki lain, kemudian, melahirkan anak perempuan, seterusnya berhasrat ingin ber “binti” kan dengan suami sedangkan anak tersebut adalah anak orang lain. Apakah kesannya dan apa yang boleh dibuat oleh si suami sekiranya kejadian tersebut berlaku?
3) Apakah hak yang boleh dituntut oleh si isteri selepas perceraian?

ISU PERTAMA : APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA LAFAZ SORIH DAN LAFAZ KINAYAH

1) LAFAZ SORIH : jelas atau nyata iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang boleh difahami dan nyata.
                  Contoh lafaz : Aku ceraikan kau dengan talak satu.

2) TALAK KINAYAH : lafaz yang diucapkan oleh suami yang membawa makna kepada perceraian atau pengertian yang lain.
                  Contoh lafaz : Kita berdua sudah tidak ada apa-apa    hubungan lagi.
                                         : Kalau kau ikut dia juga, jatuh talak
                                         : Aku ceraikan dia

Sekiranya pihak Puan meragui jenis lafaz yang diucapkan oleh suami, pihak-pihak sama ada suami atau isteri boleh memfailkan pengesahan lafaz di Mahkamah Syariah tempat pasangan bermastautin menurut seksten 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pendaftaran perceraian di luar Mahkamah)

Hanya pihak Mahkamah Syariah berhak untuk menentukan kesahihan lafaz perceraian tersebut.

ISU KEDUA : SEKIRANYA SI ISTERI ADA HUBUNGAN INTIM DENGAN LELAKI LAIN, KEMUDIAN TELAH MELAHIRKAN ANAK PEREMPUAN, SETERUSNYA BERHASRAT INGIN BER “BINTI” KAN ANAK TERSEBUT DENGAN NAMA SUAMI SEDANGKAN ANAK TERSEBUT ADALAH ANAK ORANG LAIN, APAKAH KESANNYA DAN APA YANG BOLEH DIBUAT OLEH SI SUAMI SEKIRANYA KEJADIAN TERSEBUT BERLAKU?

Saya lihat banyak isu seperti ini dibangkitkan di kebanyakan kes di Mahkamah Syariah. Masyarakat kita juga sewenang-wenangnya bertindak sesuka hati tanpa meletakkan agama di hadapan serta tidak memikirkan kesan apakah yang akan terjadi di kemudian hari. Berikut saya senaraikan kesan sekiranya anak tersebut berbinti kan kepada suami sedangkan anak tersebut adalah anak kepada lelaki lain;
1) Dosa Besar bagi si isteri kerana sekiranya dibiarkan hal tersebut berlarutan, kemungkinan dosa Puan akan berlanjutan sehingga ke tujuh keturunan.
2) Aurat anak tersebut dengan suami Puan.
3) Anak tersebut tidak berhak mendapat harta pusaka.
4) Anak tersebut tidak berhak mendapat nafkah memandangkan anak tersebut adalah anak kepada lelaki lain.
5) Dalam bab perkahwinan, sekiranya suami Puan sebagai wali pernikahan tersebut, adalah tidak sah pernikahan tersebut kerana bukan bapa kandung yang sah dan/atau bukan senasab.
6) Anak tersebut MESTI nikah menggunakan WALI HAKIM
7) Sekiranya di bawakan hal ini dihadapan mahkamah, pernikahan di antara anak puan dan suaminya hendaklah difaraqkan (dipisahkan) serta persetubuhan yang dilakukan adalah dikira sebagai wat’ie syubhah.
8)   Akan timbul isu ketidaksahtarafan anak yang dilahirkan di kemudian hari.

- Namun, sekiranya si suami meragui meragui anak yang dikandung oleh si isteri, si suami boleh memfailkan di Mahkamah Syariah, dengan tuntutan Li’an.
- Li’an adalah si suami menuduh isteri melakukan zina dengan lelaki lain, dan menafikan anak yang dikandung oleh si isteri.
- Semasa di dalam perbicaraan, Encik dikehendaki mendatangkan bukti-bukti serta saksi bagi mengukuhkan dakwaan Encik.
- Sekiranya tidak mendatangkan bukti dan saksi, Encik dikehendaki membuat sumpah li’an sebanyak 4 kali dengan nama Allah. Manakala sumpah kali kelima hendaklah dibuat sumpah laknat terhadap diri sendiri sekiranya berdusta. Berdasarkan ayat al-quran:

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, Maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa la’nat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Istrinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah Sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.” (QS An-Nuur: 6-9).

KESAN LI’AN :
1) Kedua-duanya hendaklah diceraikan
2) Haram rujuk kembali selama-lamanya
3) Anak tersebut diserahkan kepada ibu
4) Anak tersebut mendapat Hak waris daripada belah ibu sahaja.

ISU KETIGA : APAKAH HAK YANG BOLEH DITUNTUT OLEH SI ISTERI SELEPAS PERCERAIAN

Tidak dinafikan, terdapat segelintir daripada kaum wanita yang teraniya disebabkan perbuatan si suami yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan amanah, dengan tidak memberikan nafkah dan sebagainya. Terdapat juga sebahagian kes di mana setelah perintah daripada Mahkamah dikuatkuasakan, didapati si bekas suami tetap tidak membayar nafkah2 tersebut, Puan boleh juga memfailkan Komital untuk di tangkap serta dipenjarakan terhadap bekas suami. Namun, utk kes seperti ini, saya cadangkan Puan perlu melantik Peguam Syarie bagi memudahkan perjalanan kes Puan. Berikut saya senaraikan hak2 yang boleh dituntut oleh isteri;
1) Hak hadhanah (hak jagaan anak)
2) Hak interim hadhanah (hak jagaan sementara anak)
3) Nafkah isteri
4) Nafkah isteri tertunggak
5) Nafkah anak
6) Nafkah anak tertunggak
7) Muta’ah.
8)   Nafkah Iddah
9)   Harta sepencarian

Tapi sekiranya Puan disabitkan Nusyuz oleh Mahkamah, Puan tidak berhak menuntut Nafkah Iddah dan Nafkah Isteri. Kemungkinan tuntutan Muta’ah juga akan tergugur dan/atau memberi kesan bergantung kepada fakta kes, saksi, hujah dan keputusan daripada Hakim. Tetapi walaupun Puan Nusyuz, tidak akan effect pada nafkah anak. Ini kerana bekas si suami tetap kena bayar nafkah anak tersebut.

Diharapkan post ini sedikit sebanyak membantu segenlintir masyarakat dalam kalangan kita memahami apa yang hendak dan/atau perlu buat bagi masalah yang mereka hadapi. Saya juga berharap agar kita jangan lupa meletakkan agama Allah dihadapan sebelum membuat keputusan yang terburu2 yang boleh memberi kesan negative di kemudian hari. Jangan jadikan 'tidak tahu' sebagai alasan serta terus membiarkan diri hidup dalam kejahilan.
WaAllahu’alam.
Sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan saya melalui e-emel seperti yang tertera di bawah.
Sekian, terima kasih.
---------------------------------------------------------------------------
*With Regards*
Ida Misman
*Perunding Syariah
*idademiniz@gmail.com